Kerajaan hantar nota bantahan negara ceroboh perairan Malaysia, kata Hisham

Kerajaan hantar nota bantahan negara ceroboh perairan Malaysia, kata Hisham

Tindakan itu diambil selaras undang-undang antarabangsa dan pendirian Malaysia yang mempertahankan hak tuntutan perairan negara.

Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein berkata sebanyak 121 bot nelayan asing ditahan pada 2019.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sudah mengemukakan nota bantahan kepada negara yang kapal mereka didapati menceroboh perairan negara, kata Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein hari ini.

Katanya, tindakan itu diambil selaras undang-undang antarabangsa dan pendirian Malaysia yang mempertahankan hak tuntutan perairan negara.

“Saya sendiri beberapa kali menyuarakan pendirian kepada pemimpin negara yang mempunyai kaitan dengan isu Laut China Selatan.

“Semua pihak perlu bekerjasama dalam usaha mengelak insiden sama ada disengajakan atau tidak di perairan berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, sebarang konflik yang berlaku hanya akan meningkatkan ketegangan, sekali gus menggugat keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

“Oleh itu, sebarang perbezaan dan pertikaian perlu diselesaikan menerusi dialog, rundingan atau lebih tepat, jalan diplomasi.

“Misalnya sejak Mac, dalam mengendalikan isu kapal Petronas ‘West Capella’ di Arapaima-1 dan Lala-1, pihak Kementerian Luar Negeri menggunakan jalan rundingan dan perbincangan diplomatik.

“Hasilnya, kapal-kapal Republik Rakyat China telah beredar dari kawasan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan juga melaksanakan Ops Naga melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pemantauan Tentera Laut Diraja Malaydia (TLDM) di Laut Chin Selatan.

“Menerusi statistik pihak APMM, agensi itu menjalankan sejumlah 5,538 pemeriksaan ke atas pelbagai jenis vesel menerusi Ops Naga bermula 2019 hinga kini.

“Daripada jumlah pemeriksaan dilaksanakan, sebanyak 121 bot nelayan asing ditahan oleh agensi melibatkan pelanggaran pelbagai jenis akta yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shahidan Kassim (BN-Arau) secara lisan mengenai apakah usaha dilaksanakan kerajaan untuk mengusir kapal “Coast Guard” China yang berlabuh sejak 2013 di perairan Malaysia di Beting Patinggi Ali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.