
Bekas menteri kewangan itu berkata tidak masuk akal mewajarkan pelantikan ahli politik sebagai pengarah dan pengerusi syarikat atas alasan kepakaran dan pengalaman.
“Ahli politik sudah pasti tidak lebih mahir atau berpengetahuan daripada golongan pakar atau profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul sebelum ini mempertahankan pelantikan anggota parlimen dalam badan berkanun dan GLC, dengan menyifatkan langkah itu sebagai mekanisma semak dan imbang agar selari dengan dasar dan aspirasi kerajaan.
Lim bagaimanapun berkata umum tahu “ahli politik mempunyai keutamaan yang berbeza ketika mereka berada di GLC, dibandingkan dengan pengarah profesional dan pakar yang fokus pada peningkatan prestasi syarikat”.
Katanya lagi, tiada keperluan untuk melantik ahli politik bagi memastikan GLC mematuhi dasar kerajaan, kerana syarikat berkenaan boleh digesa “melalui arahan menteri atau kehadiran pegawai kanan kementerian yang dilantik sebagai pengarah”.
Menjelaskan pelantikan ahli politik semasa pentadbiran lepas, Lim berkata mereka dilantik ke badan berkanun yang bertanggungjawab untuk kawal selia. Menurutnya, badan berkanun umumnya tidak terbabit dalam perniagaan, dan mempunyai kontrak terhad untuk ditawarkan, dari segi skop dan saiz.
Beliau mendakwa pentadbiran sekarang menjadikan pelantikan wakil rakyat ke GLC sebagai ganjaran untuk mengekalkan kuasa.