Firma terima cek RM76.9 juta daripada Zahid, kata peguam

Firma terima cek RM76.9 juta daripada Zahid, kata peguam

Menurut saksi B Muralidharan, dia menerima cek di rumah atau pejabat Zahid.

Ahmad Zahid Hamidi didakwa atas kesalahan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi hari ini diberitahu bekas timbalan perdana menteri itu menghantar 92 cek berjumlah RM76.9 juta kepada sebuah firma guaman antara 20 Mei 2016 dan 9 April 2018.

Seorang rakan kongsi di Lewis & Co, B Muralidharan, berkata dia kemudian menyerahkan cek itu kepada kerani untuk dimasukkan ke dalam akaun klien firma itu.

Katanya, akaun itu dibuka di sebuah bank di Bangsar pada Mei 2016 bagi tujuan Yayasan Al-Falah, yang merupakan klien.

“Zahid bukan klien kami, hanya Al-Falah, tetapi beliau menghantar wang itu secara berperingkat kepada firma kami,” katanya ketika disoal timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran.

Muralidharan, saksi pendakwaan ke-87, berkata dia mengenali Zahid sejak 2006 atau 2007 ketika beliau menteri pertahanan sebelum menjadi menteri dalam negeri dan timbalan perdana menteri.

Katanya, kali pertama dia bertemu Zahid di pejabat seorang rakan akauntan, selepas itu dia melakukan beberapa kerja litigasi sivil untuknya.

“Saya biasa pergi ke rumahnya di Country Heights (di Kajang) untuk Hari Raya dan perayaan lain,” katanya.

Muralidharan berkata, dia menerima cek di rumah atau pejabat Zahid walaupun adakalanya cek itu juga dihantar ke pejabatnya.

Saksi itu berkata, aturannya dengan Zahid adalah untuk wang itu disalurkan kepada pembinaan masjid dan sekolah agama di kawasannya di Bagan Datuk.

“Wang dalam akaun akan dimasukkan ke dalam simpanan tetap supaya faedah dapat diperoleh,” katanya.

Katanya, simpanan tetap itu diletakkan di bawah Yayasan Al-Falah.

Ketika ditanya apa itu Al-Falah, dia menjelaskan ia adalah sebuah yayasan di mana pemegang amanah adalah abang Zahid, Nazaee.

Muralidharan, bagaimanapun menafikan Zahid sebagai pemegang amanah bagi yayasan itu.

Peguam itu berkata, firmanya melakukan banyak pekerjaan secara pro bono untuk tujuan kebajikan termasuk untuk kuil dan gereja.

“Bagi Al-Falah, kami bertindak sebagai pemegang taruh, mengumpulkan cek dan kemudian memasukkan wang itu ke simpanan tetap,” katanya.

Saksi itu berkata, dia pernah mendengar tentang Yayasan Akalbudi yang mana Zahid adalah pemegang amanah, namun kekal dengan pendirian firmanya tiada kaitan dengan yayasan itu.

Zahid berdepan 12 tuduhan pecah amanah jenayah, 8 kes rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram berjumlah RM117 juta.

Perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.