Harga siling pelitup muka dikurangkan kepada RM1

Harga siling pelitup muka dikurangkan kepada RM1

Tetapi, Alexander Nanta Linggi tidak menyatakan bila harga baru itu akan dikuatkuasakan.

Alexander Nanta Linggi berkata, bekalan pelitup muka mencukupi setakat ini dan pengeluaran sedang dipertingkatkan.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan memutuskan harga siling pelitup muka 3 lapis dikurangkan daripada RM1.20 kepada RM1.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi tidak menyatakan bila harga baru itu akan dikuatkuasakan.

“Kementerian bersedia menurunkan lagi harga siling ke paras lebih rendah pada masa akan datang.

“Usaha ini diharap dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa yang perlu menyediakan pelitup muka buat anak-anak yang sudah memulakan sesi persekolahan dan untuk kegunaan orang ramai,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Chong Chieng Jen (PH-Stampin) dalam soalan tambahan berkata, harga masih tinggi kerana ada pelitup muka yang dijual pada harga 40 sen sekeping.

Linggi bagaimanapun berkata, kualiti pelitup muka itu menjadi tanda tanya.

Katanya, bekalan pelitup muka mencukupi setakat ini dan pengeluaran sedang dipertingkatkan.

Beliau berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk memberi pengecualian duti import dan cukai jualan kepada pengilang serta pengimport pelitup muka.

Pada 23 Julai lalu, kerajaan mengumumkan harga siling pelitup muka diturunkan daripada RM1.50 kepada RM1.20 berkuatkuasa 15 Ogos ini.

Bermula 1 Ogos lalu, kerajaan mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka, khususnya di dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak sebagai langkah membendung penularan Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.