
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, garis panduan itu juga akan ditambah baik berdasarkan kelemahan yang berlaku ketika PRK Chini.
“Antara garis panduan yang dipersetujui, termasuk bilik gerakan parti dan bilik gerakan kecil dibenarkan dibuka sepanjang tempoh pilihan raya, termasuk pada hari mengundi dengan syarat ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Bilik-bilik gerakan perlu didaftar dengan pihak SPR terlebih dahulu untuk memudahkan proses pemantauan,” katanya pada sidang media harian perintah kawalan pergerakan (PKP) di Parlimen hari ini.
Katanya, kempen dan ceramah hanya dibenarkan di kawasan yang tertutup atau kawasan berpagar bagi memudahkan proses pemantauan, termasuk pemeriksaan suhu badan.
“Jumlah kehadiran perlu mengikut keluasan kawasan dengan penjarakan fizikal dan tidak boleh melebihi 250 individu pada satu-satu masa. Pemakaian pelitup muka juga adalah diwajibkan.
“Pihak SPR akan mengadakan perbincangan bersama wakil parti politik yang bertanding mengenai garis panduan pilihan raya yang memerlukan penilaian berdasarkan situasi semasa.
“SOP yang ditetapkan untuk PRK ini adalah berdasarkan Akta 342 Kementerian Kesihatan bagi mencegah jangkitan Covid-19,” katanya sambil memaklumkan peraturan di bawah bidang kuasa SPR masih diguna pakai semasa PRK berjalan.
121 individu ditahan ingkar arahan
Ismail turut memaklumkan, polis menahan 121 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP.
“Daripada jumlah itu, 32 individu telah direman, manakala 2 dijamin dan 97 lagi dikenakan kompaun.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP, termasuk premis beroperasi lebih masa, aktiviti melibatkan kehadiran ramai yang menyukar penjarakan sosial, melanggar SOP kuarantin di rumah dan aktiviti berjudi dalam talian,” katanya.
Kerajaan setuju MAHA dianjurkan
Dalam perkembangan sama, Ismail turut memaklumkan, kerajaan bersetuju secara dasar dengan dengan cadangan penganjuran Malaysia Agriculture Horticulture & Agrotourism (MAHA) 2020.
“Pihak penganjur akan menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi. Antara garis panduan yang perlu dipatuhi, termasuk hanya peserta yang diberi kad jemputan dibenar masuk dan kehadiran perlu direkodkan.
“Peserta antarabangsa pula hanya dibenarkan terlibat secara atas talian. SOP perancangan dan pelaksanaan akan diperhalusi dan dibincangkan lanjut dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal,” katanya.