
Beliau berkata, tindakan itu diambil susulan 1,969 pemeriksaan yang dilakukan polis ke atas individu yang sedang menjalani kuarantin rumah 14 hari.
Seramai 5,355 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai lalu hingga semalam ditempatkan di 21 hotel dan 5 institut latihan awam di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak dan Johor.
Katanya, mereka pulang dari 28 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia.
“Daripada jumlah itu, 13 individu dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail berkata, polis turut menahan 127 individu kerana melanggar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), di mana 8 direman dan 119 lagi dikompaun.
Beliau berkata, 65 daripada individu itu ditahan kerana gagal mematuhi SOP dan 62 menyertai aktiviti yang menyukarkan penjarakan fizikal.
Katanya, polis turut menahan seorang individu atas kesalahan imigresen sebagai sebahagian Ops Benteng berterusan.