PRN Sabah: Mesyuarat khas SPR 2 minggu lagi

PRN Sabah: Mesyuarat khas SPR 2 minggu lagi

SPR memerlukan sedikit masa lagi bagi mengadakan pilihan raya yang sesuai dan lancar

Berdasarkan Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sabah, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.
KUALA LUMPUR:
Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dijangka diadakan sekurang-kurangnya dalam tempoh 2 minggu lagi, kata Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom.

Azmi yang menjalankan tugas pengerusi SPR berkata, suruhanjaya itu masih belum dapat menetapkan tarikh mesyuarat berkenaan buat masa ini kerana memerlukan sedikit masa memandangkan PRN Sabah membabitkan sebuah negeri dengan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Semua maklum bahawa pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pemakluman pembubaran DUN, perlu diingatkan PRN tidak sama dengan Pilihan Raya Kecil.

“Jadi ia memerlukan sedikit masa lagi bagi mengadakan 1 pilihan raya yang sesuai dan lancar,” katanya.

Pada 30 Julai lepas, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin dengan SPR menerima pemakluman rasmi mengenainya pada keesokkan hari.

Berdasarkan Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sabah, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.