Pukul pengawal keselamatan: 2 warga Nepal disekat keluar

Pukul pengawal keselamatan: 2 warga Nepal disekat keluar

Permohonan kepada Jabatan Imigresen untuk mengenakan sekatan perjalanan keluar sudah dibuat.

Siasatan polis mendapati kedua-dua mangsa dan suspek dalam insiden pukul di tempat letak kereta di Wangsa Maju baru-baru ini merupakan warga Nepal.
KUALA LUMPUR:
Dua warga asing yang terbabit dalam video tular memaparkan insiden seorang pengawal keselamatan dipukul di tempat letak kereta di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, akan dikenakan tindakan sekatan keluar dari negara ini.

Timbalan pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen (JIM) untuk mengenakan sekatan perjalanan keluar dari negara ini ke atas 2 lelaki berkenaan.

Siasatan mendapati mangsa dan suspek dalam video terbabit adalah warga Nepal dan masing-masing berusia 26 dan 35 tahun.

“Kami sudah membuat permohonan kepada JIM untuk sekat mereka dari keluar negara ini dan hasil semakan mendapati mereka masih berada dalam negara,” katanya hari ini.

Pada 31 Julai lepas, video berdurasi 44 saat tular di media sosial memaparkan insiden seorang lelaki menampar dan memukul seorang pengawal keselamatan yang dipercayai warga asing dengan sebatang kayu.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan sedang mengesan mangsa dan suspek yang identitinya sudah dikenal pasti.

Siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju, 7 Julai lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.