Shafie menghadap YDP Sabah, pertemuan setengah jam

Shafie menghadap YDP Sabah, pertemuan setengah jam

Kenderaan yang dipercayai membawa Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dilihat memasuki Istana Negeri pada 8.20 pagi dan dilihat keluar setengah jam kemudian.

Kenderaan yang dipercayai membawa Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal memasuki pintu gerbang Istana Negeri Sabah untuk mengadap YDP Sabah pagi tadi. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal mengadap Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin selama kira-kira setengah jam di Istana Negeri pagi tadi.

Kira-kira 5 kenderaan dengan 1 daripadanya mempunyai lambang Warisan mengiringi kenderaan Shafie, masuk ke Istana Negeri melalui pintu di Padang Merdeka, pada kira-kira 8.20 pagi, dan mereka dilihat keluar kira-kira setengah jam kemudian.

Shafie yang juga presiden Warisan dijadual mengadakan sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

Sidang media berkenaan difahamkan antara lain mempunyai kaitan dengan dakwaan bekas ketua menteri Musa Aman semalam, yang beliau mendapat majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan negeri baharu.

Musa pada sidang medianya itu mendakwa memperoleh majoriti mudah menerusi gabungan beberapa parti di negeri itu, namun beliau tidak memberitahu jumlah majoriti mudah yang dimilikinya.

Tinjauan Bernama mendapati semua laluan pintu masuk ke Istana Negeri dikawal ketat pihak keselamatan, dengan kedua-dua laluan ke Istana Negeri iaitu di bulatan Karamunsing serta Padang Merdeka ditutup, dan pemberita tidak dibenarkan masuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.