Covid-19: 23 kes baru, 17 pesakit sembuh

Covid-19: 23 kes baru, 17 pesakit sembuh

Jumlah kematian akibat Covid kekal 123 orang.

PUTRAJAYA:
Sebanyak 23 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini berbanding 21 dicatatkan semalam, manakala 17 pesakit disahkan sembuh.

Jumlah kematian kekal 123 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, 3 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 2 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 8,884 kes Covid-19 dengan 8,594 daripadanya disahkan sembuh.

167 pesakit kini dirawat di hospital seluruh negara.

Noor Hisham berkata, daripada 23 kes baru hari ini, 6 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan 4 warganegara Malaysia dan 2 bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

“Enam kes import berkenaan adalah dari negara Singapura (3 kes) Indonesia (1 kes), Filipina (1 kes) dan Rusia (1 kes),” katanya.

Tambah Noor Hisham, daripada 17 kes penularan dalam negara, 10 kes melibatkan warganegara Malaysia, manakala 7 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara.

“Kes jangkitan dalam negara melibatkan bukan warganegara adalah 7 kes.

“Ia membabitkan 1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu kes saringan selepas bersalin. Beliau merupakan seorang tahanan di depoh tahanan imigiresen Bukit Jalil.

“Di Selangor pula terdapat 2 kes, iaitu 1 kes daripada kluster Rumah Kongsi Sepang dan 1 kes saringan di tempat kerja.

“Manakala di Johor pula ada 4 kes, iaitu 1 kes daripada kluster Warga Emas Kluang, 2 kes daripada kluster Bukit Tiram dan 1 kes saringan sebelum masuk kerja,” katanya.

Bagi kes melibatkan warganegara yang jumlah keseluruhan yang dicatat pada hari ini sebanyak 10 kes, ialah 2 kes di Johor, iaitu 1 kes daripada kluster Warga Emas Kluang dan 1 kes saringan di tempat kerja.

“Manakala di Sarawak, terdapat 8 kes yang membabitkan 4 kes daripada kluster Sentosa, 1 kes daripada kluster Kejuruteraan Kuching, 1 kes daripada kluster syarikat pembinaan Kuching, 1 kes saringan pemantauan di pintu masuk lapangan terbang dan 1 kes saringan di tempat kerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.