
Beliau berkata, daripada 525 tangkapan pada 2019, seramai 387 merupakan kumpulan pelaksana.
“Kumpulan perkhidmatan, selain kumpulan pelaksana terdiri daripada kumpulan pengurusan tertinggi, kumpulan pengurusan dan profesional.
“Seramai 121 individu ditahan bekerja dalam kumpulan pengurusan dan professional, manakala 17 lagi ditahan dalam kalangan kumpulan pengurusan tertinggi,” katanya.
Shamshun berkata, pada 2019, jumlah tangkapan mencecah lebih 1,000 individu daripada pelbagai sektor.
“Ia jumlah yang mengejutkan, SPRM tidak pernah memperolehi tangkapan lebih daripada angka itu, dengan yang tertinggi sebelum ini ialah pada 2010 dengan 944 tangkapan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai gejala penjawat awam terbabit rasuah, Shamshun berkata, adalah penting untuk memberi penekanan kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, dengan penglibatan sektor pendidikan.
“Langkah itu perlu supaya dalam masa sama dapat mewujudkan rasa benci terhadap rasuah dari peringkat awal lagi,” katanya.
Shamshun berkata, kerajaan turut diminta mengkaji serta mengeluarkan pekeliling membabitkan permasalahan rasuah dalam kalangan penjawat awam.
“Modul itu sudah wujud, namun pekeliling perlu dikeluarkan oleh agensi pusat, SPRM tidak boleh mengeluarkan pekeliling berkenaan.
“Sektor awamlah yang paling tinggi, NACP itu disediakan kerana trend di sektor awam. Statistik SPRM menunjukkan sektor awam lebih cenderung ke arah rasuah,” katanya.
NACP dilancarkan awal tahun ini dan ia sejajar dengan usaha ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.