Bicara kes rasuah Tengku Adnan disambung 23 Nov

Bicara kes rasuah Tengku Adnan disambung 23 Nov

Kes akan bersambung semula di hadapan hakim asal.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor
KUALA LUMPUR:
Perbicaraan kes bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang berdepan pertuduhan rasuah RM1 juta akan bersambung semula di hadapan hakim asal pada 23 Nov.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mahkamah Persekutuan pada 17 Julai lalu membenarkan kes itu dibicarakan di hadapan Nazlan dan memohon tarikh perbicaraan baharu.

“Mahkamah menetapkan perbicaraan bersambung pada 23 dan 24 November ini manakala Disember pada 1, 2, 3, 7, 8, 9, 10, 14, 15, 16,” katanya pada sebutan kes itu hari ini.

Peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan tidak membantah tarikh tersebut.

Sebelum itu, di Mahkamah Tinggi lain, Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan kes Tengku Adnan itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 3 di hadapan Nazlan untuk menyambung perbicaraan.

Ini berikutan Lailawati memaklumkan Mahkamah Persekutuan mengubah keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan semula kes itu untuk dibicarakan di hadapan Nazlan.

Pada 17 Julai lepas, Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan dalam keputusannya memutuskan Mahkamah Rayuan melakukan kekhilafan dari sudut undang-undang dan menerapkan undang-undang secara salah pada fakta kes itu yang memerlukan campur tangan Mahkamah Persekutuan.

Sebelum itu, Mahkamah Rayuan memutuskan supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah lain dan hakim baharu akan membuat keputusan sama ada untuk memulakan kes itu atau meneruskan perbicaraan daripada Nazlan.

Kes itu kemudiannya dipindah ke hadapan Jamil.

Perbicaraan di hadapan Nazlan bermula pada 20 Sept tahun lepas dengan 2 saksi pendakwaan memberi keterangan.

Tengku Adnan, 69, merayu terhadap keputusan Nazlan pada 20 Sept 2019 yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu membuat permohonan itu atas alasan Nazlan membaca dan mempertimbangkan fakta kes ahli perniagaan Tan Eng Boon yang membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Tengku Adnan yang didakwa menerima suapan RM1 juta daripada Tan dan didenda RM1.5 juta.

Pada 15 Nov 2018, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akauan CIMB Bank kepunyaan Tengku Adnan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menambah nisbah plot sebidang tanah berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak diluluskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail pada 27 Dis 2013.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menerima RM1 juta daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.