PM pertimbang wajib pelitup ketika kes Covid-19 kembali 2 angka

PM pertimbang wajib pelitup ketika kes Covid-19 kembali 2 angka

Keputusan akan dimuktamadkan tidak lama lagi

PETALING JAYA:
Kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam sebagai usaha mengurangkan penularan wabak Covid-19, ketika kes jangkitan kembali 2 angka sejak beberapa hari lalu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu sedang diperinci dan diperhalusi, sementara keputusannya akan diumumkan apabila peraturan berkaitan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Situasi ini tidak boleh diambil mudah oleh kita semua. Saya pasti anda tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan perintah kawalan sekiranya kes Covid-19 meningkat dengan mendadak.

“Cukuplah 3 bulan kita semua berkurung di rumah,” katanya dalam perutusan khas perkembangan terkini perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) hari ini.

Muhyiddin berkata, ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, ekonomi negara terjejas teruk, perniagaan mengalami kerugian dan ramai kehilangan pekerjaan.

“Sudah tentu kita tidak mahu kembali hidup dalam keadaan seperti itu. Sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dan memerlukan kerajaan menguatkuasakan semula PKP, impaknya kepada ekonomi amat besar.”

Melihat kepada penemuan 4 kluster baru yang berpunca daripada mereka yang pulang dari luar negara – dikesan di Sarawak, Melaka, Terengganu dan Kuala Lumpur sejak 7 Julai – perdana menteri memberi amaran kepada rakyat yang pulang supaya menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah dengan penuh disiplin.

“Sekiranya anda gagal mematuhi arahan pengasingan ini, penalti boleh dikenakan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Perdana menteri berkata undang-undang juga akan ditingkatkan dengan denda lebih berat ke atas mereka yang melanggar undang-undang dan peraturan.

“Jika perlu, kerajaan akan menempatkan rakyat yang pulang ke tanah air dari luar negara di pusat kuarantin untuk mengawal kes import dengan lebih berkesan,” katanya.

Muhyiddin mengingatkan pandemik Covid-19 masih belum berakhir dan banyak negara masih bergelut memerangi wabak itu.

Sehingga semalam, hampir 14.5 juta orang dijangkiti Covid-19 di seluruh dunia dengan lebih 600,000 kematian dilaporkan.

“Walaupun kes Covid-19 kekal rendah di negara kita, saya agak bimbang dengan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh PKPP,” katanya.

“Penutupan semula sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 bilion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia,” tambahnya.

Selepas mencatatkan kes positif 1 angka Covid-19 bagi tempoh agak lama, Malaysia kembali mencatatkan 2 angka pada 17 Julai dan 19 Julai dengan masing-masing 18 kes dan 15 kes.

Hari ini, Kementerian Kesihatan melaporkan terdapat 21 kes jangkitan baru setakat 12 tengah hari tadi, 6 daripadanya kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, dan 15 kes penularan dalam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.