
Hakim Kamaludin Md Said berkata, rekod menunjukkan kes Rozita Mohd Ali ditangguh sebanyak 4 kali sejak 24 Sept tahun lalu.
“Kami tidak kisah jika ia satu atau 2 kali, tetapi dia mengambil cuti sakit hanya sebelum rayuannya didengar,” kata Kamaludin yang bersidang dengan Azizah Nawawi dan Ahmad Nasfi Yassin.
Beliau berkata, ini ialah penangguhan terakhir dan Rozita, 46, perlu hadir pada pendengaran berikut.
“Ini ialah penangguhan terakhir dan tiada lagi kompromi. Rayuan akan diteruskan tanpa kehadirannya.”
Kamaludin turut bertanyakan kakak Rozita, Rosliah yang merupakan penjaminnya, kenapa perayu tidak mahu hadir ke mahkamah pada tarikh dijadualkan.
Rosliah berkata, Rozita bukan sengaja melakukannya kerana dia mempunyai sejarah komplikasi perubatan.
Katanya, ada sijil cuti sakit yang diberikan seorang doktor dan ia bukannya “gurauan”.
Kamaludin yang meninggikan suaranya berkata: “Saya tanya anda kerana mahkamah ingin tahu kenapa dia selalu tidak hadir.
“Dia boleh naik kerusi roda jika dia sakit lutut. Kita tiada masalah dengannya.”
Katanya, mahkamah boleh memberikan alasan kepada Rosliah dan merampas ikat jamin RM20,000 yang dibayar untuk menjamin kehadiran Rozita.
Panel 3 hakim itu kemudian menetapkan pendengaran seterusnya pada 24 Sept ini.
Terdahulu, peguam Rozita, Mohd Amiraizat Abdul Rani, meminta pendengaran itu ditangguhkan kerana anak guamnya dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Harun berkata, Rozita tidak hadir ke mahkamah atas alasan sama menghidap asma dan sakit lutut.
Pada 30 Mei 2018, satu lagi panel Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Rozita untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman kerana keadaan luar biasa.
Panel itu bagaimanapun mengarahkan wanita berkenaan membayar ikat jamin RM20,000 dengan 2 penjamin, menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri di Balai Polis Damansara Utama 2 minggu sekali.
Rozita memfailkan permohonan itu atas alasan Mahkamah Tinggi Shah Alam tidak boleh terus menyemak semula kesnya selepas pendakwa raya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.
Rozita mengaku salah pada 15 Mac 2018 kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya terhadap pembantu rumah Indonesianya, Suyanti Sutrinso.
Pada 15 Mac 2018, Rozita mengaku bersalah menyebabkan kecederaan teruk menggunakan senjata berbahaya kepada pembantu rumah warga Indonesianya, Suyanti Sutrinso.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mohammed Mokhzani Mokhtar pada mulanya membebaskan Rozita dengan bon kelakuan baik selama 5 tahun dan jaminan RM20,000.
Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan kemarahan masyarakat dengan satu petisyen atas talian dilancarkan bagi membantah hukuman itu yang mendapat lebih 70,000 tandatangan.
Setelah disemak semula, Pesuruhjaya Kehakiman, Majid Hamzah pada 29 Mac 2018 memutuskan perintah bon kelakuan baik yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen tidak tepat dan menggantikannya dengan hukuman penjara 8 tahun.
Katanya, mahkamah rendah itu silap menimbangkan faktor rayuan apabila Suyanti menarik balik laporan polisnya ketika perbicaraan.
Rozita dimasukkan ke Penjara Kajang selama 2 bulan selepas Majid menolak penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan.
Satu klip video Suyanti yang cedera parah dan terbaring berhampiran longkang di sebuah kawasan perumahan di Mutiara Damansara, tersebar pada Disember 2016.
Menurut laporan, Rozita didakwa menggunakan pisau dapur, penyangkut baju, batang besi mop dan payung untuk mencederakan kepala, tangan, kaki serta organ dalaman Suyanti.