Al Jazeera tiada lesen pengeluaran filem, tiada permohonan penggambaran dokumentari, kata Finas

Al Jazeera tiada lesen pengeluaran filem, tiada permohonan penggambaran dokumentari, kata Finas

Finas akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam menjalankan siasatan terhadap Al Jazeera.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani penularan Covid-19. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkata, Al Jazeera International (M) Sdn. Bhd tidak mempunyai lesen pengeluaran filem dan tiada permohonan surat perakuan penggambaran dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’.

Dalam satu kenyataan, Unit Komunikasi Korporat Finas berkata, perkara itu didapati berdasarkan siasatan awalnya.

“Finas akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam menjalankan siasatan terhadap Al Jazeera (M) International Sdn. Bhd di bawah Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan 2013).

“Ini kerana ia menjalankan aktiviti perfileman, iaitu aktiviti pengeluaran filem dokumentari tanpa lesen yang sah dari Finas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata, ia sedang menyemak sama ada dokumentari kontroversi “Locked Up In Malaysia’s Lockdown” terbitan agensi media antarabangsa itu mendapat lesen Finas sebelum ia dterbitkan.

Menterinya Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana antara syarat penghasilan setiap filem dan dokumentari di negara ini ialah syarikat atau produksi yang terlibat perlu mendapat izin daripada Finas.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani penularan Covid-19.

Polis dilaporkan memanggil pengendali Al Jazeera serta wartawan yang terlibat dalam penerbitan dokumentari itu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan yang dibuat di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, selain Akta Komunikasi dan Multimedia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.