
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa orang ramai supaya “berbelanja untuk Malaysia” bagi membantu ekonomi pulih daripada kesan wabak Covid-19 melalui program Jualan Mega dan kempen Beli Barangan Malaysia.
Bagaimanapun ahli ekonomi Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, peningkatan penggunaan domestik mungkin mempunyai kesan pengganda, tetapi ia merupakan permintaan sekali gus yang akan mengendur.

Barjoyai berkata, dalam jangka panjang, peningkatan permintaan domestik akan menambah keyakinan pengguna dan diharapkan turut menambah baik sentimen umum pasaran ke paras sebelum pandemik Covid-19.
“Namun isunya, untuk berbelanja, orang ramai perlu mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian. Walaupun lanjutan tempoh moratorium pinjaman boleh membantu ke arah itu, namun wujud kelemahan di situ.
“Moratorium pinjaman bertujuan membantu orang ramai berdepan kemungkinan pengurangan dalam pendapatan dan perolehan mereka, selain membolehkan mereka menabung apabila moratorium berakhir,” katanya.
Katanya, ramai yang mengalami potongan gaji atau hilang pekerjaan menyebabkan pendapatan boleh guna dan kuasa beli mereka berkurang.
Barjoyai berkata, beliau berasa bimbang orang ramai tidak menabung wang mereka untuk membayar balik pinjaman apabila tempoh moratorium berakhir, sebaliknya membelanjakannya ke atas barangan bukan keperluan.
Beberapa kumpulan dan sebilangan pemimpin politik membuat gesaan supaya Bank Negara Malaysia (BNM) melanjutkan tempoh moratorium 6 bulan ke atas pinjaman itu.
“Usaha menggalakkan penggunaan domestik sewaktu pendapatan tidak bertambah bukanlah strategi yang baik,” kata Barjoyai.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya membenarkan pengeluar mengubah suai pengeluaran berdasarkan permintaan pasaran, bukannya menggalakkan penggunaan domestik kerana ia tidak mampan.
“Kita harus galakkan pengeluar menjual produk mereka ke pasaran dunia. Mereka perlu menganalisis corak penggunaan dan permintaan serta membuat ubah suai berdasarkan kehendak pasaran.
“Jika kita hanya meningkatkan kapasiti perbelanjaan melalui lanjutan moratorium atau bantuan kerajaan, orang ramai mungkin pergi bercuti dan membuat pembelian yang mereka sebenarnya tidak mampu.”
Apabila perbelanjaan kembali normal, perniagaan akan kembali ke tapak asal.

Penasihat ekonomi Asia Pasifik di Institut Strategi Kingsley Hoo Ke Ping berkata, untuk menggalakkan penggunaan domestik, orang ramai perlu mempunyai wang di tangan dan keadaan itu tidak wujud pada masa ini.
“Pekerjaan baru terancam. Kita tahu 826,000 orang tidak bekerja. Kumpulan ini yang perlu dibantu dahulu oleh kerajaan.
“Kita perlu tingkatkan kebajikan sosial supaya kumpulan ini memperoleh sekurang-kurangnya 50% daripada upah semasa mereka.
“Ia boleh dilakukan melalui pinjaman kerajaan. Pada masa ini kita tidak perlu bimbang tentang paras defisit. Sekarang adalah masa luar biasa.”
Hoo berkata, kerajaan juga perlu meneliti langkah pelonggaran kuantitatif (QE) bagi menambah bekalan wang dalam ekonomi dan merangsang perbelanjaan.
“Bagaimana kerajaan mengagihkan wang tidak terlalu penting pada masa ini. Lebih penting ialah melakukannya. Paling penting ialah langkah memperluaskan lagi program itu bagi melindungi pekerjaan dan kehidupan,” kata.