Polis akan panggil pihak berkuasa berkait dokumentari Al Jazeera

Polis akan panggil pihak berkuasa berkait dokumentari Al Jazeera

Semua pihak berkuasa itu dipanggil untuk membuat pengesahan dari segi kelulusan dan kebenaran berhubung penyiaran dokumentari 'Locked Up in Malaysia’s Lockdown'.

Polis ingin mendapatkan penjelasan pihak berkuasa sekiranya dokumentari yang disiarkan Al Jazeera ada melanggar hak asasi ke PATI atau sebaliknya.
KUALA LUMPUR:
Polis akan memanggil beberapa pihak berkuasa berkaitan untuk merakam percakapan berhubung penyiaran sebuah dokumentari mengenai cara Malaysia menangani pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata semua pihak terlibat dipanggil untuk membuat pengesahan dari segi kelulusan dan kebenaran berhubung penyiaran dokumentari itu.

Beliau berkata, antaranya polis ingin mendapatkan penjelasan pihak berkuasa sekiranya dokumentari yang disiarkan Al Jazeera itu ada melanggar hak asasi ke PATI atau sebaliknya.

“Semua pihak berkuasa berkaitan akan dipanggil dalam tempoh terdekat ini.

“Selain itu, di sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kami ingin tahu objektif dan pengoperasian pihak berkuasa terlibat dalam mengawal penularan Covid-19 terhadap pendatang tanpa izin,” katanya kepada Bernama semalam.

Huzir berkata, polis perlu mendapatkan segala rakaman percakapan dan dokumen berkaitan daripada pihak terlibat.

“Kami hendak melihat sekiranya dakwaan yang dinyatakan Al Jazeera di sepanjang tempoh PKP, PKPD dan PKPB ini adakah benar atau sebaliknya.”

Beliau berkata, pihaknya selesai merakam keterangan 6 kakitangan Al Jazeera bagi membantu siasatan kes itu di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” selama 25 minit yang mengecam layanan terhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah membendung Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.