Lanjut beku bayaran balik pinjaman untuk kumpulan pendapatan rendah, menengah, saran ahli ekonomi

Lanjut beku bayaran balik pinjaman untuk kumpulan pendapatan rendah, menengah, saran ahli ekonomi

Carmelo Ferlito berkata kemerosotan ekonomi paling memberi kesan pada 2 kumpulan itu.

Kemerosotan ekonomi akibat wabak Covid-19 dan kawalan paling memberi kesan pada golongan berpendapatan rendah.
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi bersetuju dengan seruan melanjutkan moratorium 6 bulan pinjaman bank tetapi berkata ia harus hanya dibenarkan bagi kumpulan sasaran seperti golongan berpendapatan rendah dan menengah.

Carmelo Ferlito, seorang felo kanan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata, kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan kawalan paling memberi kesan pada 2 kumpulan itu.

“Kumpulan berpendapatan rendah dan menengah, yang dalam keadaan normal akan boleh bayar hutang, dapati mereka berada dalam keadaan kewangan yang tidak stabil,” katanya kepada FMT.

“Mereka yang kita harus bantu kerana mereka adalah golongan yang tidak akan ingkar bayar hutang dalam keadaan normal.”

Mengatakan lanjutan harus diberi berdasarkan kes, katanya keputusan wajar diserahkan kepada institusi perbankan.

“Bank kenal pelanggan mereka dan siapa yang benar-benar perlukan sokongan sementara.”

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia semalam menggesa Putrajaya melanjutkan moratorium untuk kumpulan B40 dan M40, mengatakan ekonomi perlu sekurang-kurangnya 6 bulan lagi untuk pulih.

Setiausaha Agung J Solomon juga menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atau Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menyatakan secara jelas adakah moratorium akan dilanjutkan atau tidak.

Moratorium itu, yang diperkenalkan pada 1 Apr, akan tamat pada 30 Sept.

Ahli ekonomi Mohamad Nazari Ismail bersetuju lanjutan harus diberikan tetapi faham kenapa bank setakat ini enggan berbuat demikian.

Katanya, bank bimbang akan aliran tunai jangka masa panjang dan kestabilan kewangan.

“Bank tidak akan beri lanjutan kerana akan beri kesan pada prestasi mereka,” katanya.

“Bank mungkin juga bimbang hutang akan bertambah dan jadi susah untuk diselesaikan.”

Bagaimanapun, bank juga bertanggungjawab mencipta industri hutang-untuk-keuntungan yang mengurangkan ketakutan orang ramai terhadap hutang.

“Bank peroleh keuntungan dengan mengalakkan orang ramai membuat pinjaman peribadi dan menggunakan kad kredit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.