
Jika anda mengikuti perkembangan isu semasa, pasti anda tahu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula dari 18 Mac hingga 3 Mei lalu terdapat 5 kes keganasan rumah tangga membabitkan suami menjadi mangsa.
Fakta ini diumumkan oleh Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri, Siti Mariah Mahmud Ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.
Jelas Siti Mariah lagi, semua mangsa berumur 18 hingga 60 tahun itu didera secara fizikal dan emosi oleh isteri masing-masing.
Sebenarnya isu ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ia jarang diperkatakan memandangkan ramai yang lebih bersimpati dengan kes-kes penderaan yang membabitkan golongan isteri.
Selain itu, kes-kes penderaan yang membabitkan suami jarang dilaporkan kerana lelaki mahu menjaga ego dan tidak mahu dituduh dayus.
Perlu diingatkan, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang dipinda pada tahun 2012 bukan hanya melindungi wanita, tetapi ia juga bertujuan untuk melindungi si suami daripada penderaan domestik.
Persoalannya, mengapa mengapa seorang isteri yang seharusnya menyayangi dan menghormati suami tergamak mendera suami secara fizikal dan mental?
Jom semak info berikut!
1. Hilang rasa hormat pada suami
Rasa hormat terhadap suami boleh hilang gara-gara tingkah laku suami yang tidak pandai menjaga hati isteri.
Walaupun isteri telah berkali-kali menyuarakan ketidakpuasan hatinya, suami tetap tidak mempedulikannya.
Ia mungkin disebabkan perkara yang remeh, namun apabila ia sering diabaikan, lama-kelamaan isteri akan hilang rasa hormat.
Sebagai contoh, suami sering kali mungkir janji ataupun terlalu kerap berbohong.
2. Suka membandingkan suami dengan idola
Hakikatnya, memang ramai wanita berkahwin punya lelaki idola. Paling tidak, ayah sendiri.
Masalah akan timbul jika isteri mula buat perbandingan yang tidak realistik. Mereka mungkin mengharapkan suami berkelakuan seperti idolanya sedangkan suaminya seorang individu yang cukup berbeza.
Apabila timbul konflik, akan berlaku pertengkaran yang akhirnya mengundang kata-kata yang mengguris perasaan atau lebih buruk lagi berlaku sentuhan fizikal memudaratkan.
3. Bebanan kerja pejabat dan rumah
Wanita moden berhadapan dengan cabaran yang bukan kepalang. Bukan mudah membahagikan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan juga kerjaya.
Bebanan tugas pejabat dan rumah kadangkala memaksa wanita bekerja lebih masa sehingga tahap kesihatan mereka merosot.
Jika suami tidak memberi sokongan, lama-kelamaan, isteri akan memberontak dan mula bertindak-balas.
Salah satu reaksi yang mungkin berlaku ialah mendera pasangan untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati.
4. Tidak menghargai isteri
Sikap suami yang tidak menghargai isteri juga boleh menjadi punca isteri mendera suami. Isteri mana yang yang tidak mahu dimanjakan?
Tiada salahnya meraikan isteri pada hari-hari istimewa seperti ulangtahun perkahwinan, hari ibu dan juga hari lahirnya.
Jika suami lain boleh menggembirakan isteri mereka, anda juga boleh lakukan.
Selain itu, jangan sesekali memperlekeh keupayaan atau sumbangan isteri kepada keluarga.
Jika hatinya tersakiti, lama-kelamaan ia akan menjadi pendendam dan akhirnya sanggup bertindak ganas.
Tip Kawal Kemarahan
Sesabar mana pun kita, adalah mustahil untuk melarikan diri daripada perasaan marah.
Jadi apa yang boleh anda lakukan apabila diri diselubungi perasaan marah? Berikut adalah tip yang dimuatnaik oleh http://www.myhealth.gov.my untuk meredakan kemarahan.
- Panjangkan serta perlahankan tarikan nafas anda.
- Perlahankan atau hentikan pergerakan anda supaya kadar degupan jantung anda dapat diturunkan.
- Senangkan diri dengan melonggarkan otot-otot tubuh badan.
- Kenal pasti pemikiran anda yang negatif dan tidak rasional, kemudian ubahkan kepada pemikiran positif dan membina.
- Fokus kepada pemikiran positif.
- Berjenaka untuk menghilangkan perasaan marah.
- Beralih dari persekitaran dan sumber yang menyumbang kepada perasaan marah.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]