Bekas pemandu Formula 4 didakwa tipu babit kerugian lebih RM700,000

Bekas pemandu Formula 4 didakwa tipu babit kerugian lebih RM700,000

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh Eric Louis Pragasam, 23, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan terhadapnya. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Bekas pemandu Formula 4 negara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 32 pertuduhan menipu dan memperdaya 2 lelaki bagi mendapatkan kad pengenalan, lesen memandu dan pasport, membabitkan kerugian RM709,200 sekitar November 2018 hingga Jun 2019.

Tertuduh, Eric Louis Pragasam, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan terhadapnya di depan hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-31, tertuduh yang tidak bekerja didakwa menipu dan memperdaya Lim Heng Ho, 65, bahawa tertuduh boleh membantu Lim Yat Soon mendapatkan kad pengenalan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lesen memandu dan pasport sehingga mendorong mangsa (Heng Ho) menyerahkan wang tunai berjumlah RM704,200 kepada tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Petaling Jaya pada 3 Nov 2017 hingga 14 Mei 2019.

Manakala bagi pertuduhan ke-32 pula, tertuduh didakwa menipu Lim Yat Soon, 20, dengan memperdaya mangsa bahawa tertuduh boleh membantu mendapatkan mangsa (Yat Soon) kad pengenalan daripada JPN sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM5,000 kepada tertuduh.

Eric Louis didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Khalifah, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 17 Jun 2019.

Semua pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab Wahab, memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM320,000 untuk semua pertuduhan bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah setiap kali perbicaraan berlangsung.

Bagaimanapun peguam Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin dikurangkan atas alasan tertuduh memberikan kerjasama baik kepada SPRM sepanjang beliau ditahan.

Rozilah kemudian membenarkan Eric Louis diikat jamin RM160,000, iaitu RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, serta pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 19 Ogos depan.

Formula 4 adalah kategori kereta lumba dengan roda terbuka sepenuhnya bagi pemandu remaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.