Bank Dunia puji langkah Putrajaya semak garis kemiskinan

Bank Dunia puji langkah Putrajaya semak garis kemiskinan

Menurut Bank Dunia, metodologi garis kemiskinan Malaysia tidak dikemas kini sejak 2005 dan nilai sebenarnya tidak berubah sejak 1977.

Ahli ekonomi kanan Bank Dunia Kenneth Simler berkata, ukuran kemiskinan baru dapat digunakan seiring dengan petunjuk pendapatan relatif, pemantauan dan penilaian dasar serta program meningkatkan kesejahteraan golongan memerlukan di Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Bank Dunia hari ini memuji langkah Malaysia menaikkan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 berbanding RM980 baru-baru ini yang disifatkan dapat membantu kerajaan memastikan semua rakyat mencapai standard kehidupan minimum baru yang lebih konsisten dengan keadaan semasa.

Ahli ekonomi kanan Bank Dunia, Kenneth Simler berkata, kaedah atau metodologi garis kemiskinan Malaysia sebelum ini tidak dikemas kini sejak 2005 dan nilai sebenarnya tidak berubah sejak dirangka pada 1977.

Malah katanya, ini turut menunjukkan bahawa kesukaran serta kekurangan sebelum ini yang dianggap sebagai tidak bernasib baik serta diterima secara sosial, sebenarnya tidak lagi sesuai pada 2020.

“Peningkatan garis dan kadar kemiskinan itu daripada 0.4% (pada 2016) kepada 5.6% (2019) tidak bermakna masalah itu meningkat atau rakyat Malaysia lebih miskin berbanding hari sebelum pengumuman (PGK) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed.

“Sebaliknya, perbezaan kiraan PGK mengikut setiap isi rumah itu bergantung kepada bilangan mereka yang tinggal bersama serta kos asas barangan dan perkhidmatan di peringkat tempatan yang berbeza di serata Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenneth Simler

Menurut Simler, dasar untuk mengurangkan kemiskinan dan menggalakkan perkongsian kemakmuran Malaysia secara lebih ketara akan lebih berkesan sekiranya turut menumpukan perincian dalam metodologi garis kemiskinan tersebut.

Sehubungan itu, langkah yang perlu diutamakan adalah memastikan bantuan terbabit disalurkan kepada kelompok yang paling memerlukannya, manakala dana kerajaan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Ini boleh dicapai dengan menyesuaikan aspek syarat kelayakan dan manfaat dengan ciri yang mungkin dilihat mudah, namun penting seperti bilangan ahli keluarga dan apakah mereka menetap di kawasan yang dikelaskan sebagai bernilai tinggi atau sebaliknya,” katanya.

Simler berkata, ukuran kemiskinan baru itu juga dapat digunakan seiring dengan petunjuk pendapatan relatif, pemantauan dan penilaian dasar serta program meningkatkan kesejahteraan golongan memerlukan di Malaysia.

Menurutnya, berbanding semakan semula gaji minimum berdasarkan PGK baru, langkah paling mampan untuk keluar daripada kemiskinan serta pendapatan rendah adalah memastikan penduduk miskin mempunyai akses terhadap pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.