
Norma baru menjadikan kehidupan seharian kini jauh berbeza daripada biasa.
Jika sebelum ini kita bebas ke sana ke mari melakukan pelbagai aktiviti, namun aktiviti kini terbatas dek kerana mahu berjaga-jaga bagi mencegah penularan wabak Covid-19 yang masih berleluasa.
Mahu atau tidak, kita harus mengikut SOP seperti yang disarankan oleh kerajaan dan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO).
Pemakaian topeng kini antara perkara wajib yang harus dipakai setiap kali melangkah keluar dari pintu rumah.
Pendek kata, topeng boleh diibaratkan sebagai salah satu “pakaian” harian dan atas sebab itulah permintaan untuk topeng kini melonjak tinggi.
Dengan trend semasa ini, pereka fesyen tempatan juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menghasilkan topeng dari jenama mereka sendiri.

Antara pereka fesyen terkenal yang kini bergiat aktif dalam penghasilan topeng Jovian Mandagie.
Pelbagai jenis rekaan dihasilkan demi memenuhi kehendak pelanggan.
Topeng yang direka penuh bergaya ini sering mendapat permintaan tinggi terutamanya daripada si pencinta fesyen.
Jovian turut menghasilkan topeng yang bertatahkan kristal Swarovski.
Pelbagai warna menarik dihasilkan, malah terdapat juga topeng muka yang dihasilkan daripada material baldu dan renda. Sungguh bergaya!

Pereka duo terkenal negara, Rizman Ruzaini turut mengambil pendekatan yang sama dengan mengeluarkan set perlindungan diri yang dilengkapi dengan topeng, cecair sanitasi serta beg mini istimewa.
Set yang dijual dengan harga RM49.90 ini khabarnya menerima 6000 tempahan sejak hari pertama tempahan dibuka.
Terbaru pereka ini melancarkan topeng edisi mewah yang bertatahkan batu permata yang dijual pada harga RM99 .

Rizalman Ibrahim tidak terkecuali daripada menghasilkan topeng dari jenamanya sendiri.
Topeng berwarna hitam yang dicetak nama Rizalman ini laris bak pisang goreng panas.
Selain rekaan topeng yang minimalis, namun tetap punya “fashion statement”, bungkusan topeng ini turut menjadi bualan netizen dek keunikannya.

Jenama tempatan terkenal seperti The Duck Group turut memperkenalkan koleksi topeng mereka sendiri.
Buat peminat fanatik jenama ini, pastinya topeng yang dihiasi pin itik logam berkilau ini antara “item’ wajib dimiliki untuk dipadankan bersama tudung daripada jenama sama.

Buat bakal pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan dalam norma baru, pereka fesyen yang semakin meningkat naik iaitu Mirol Jonit telah menghasilkan topeng khas untuk mereka yang bakal diijabkabulkan.
Topeng berwarna putih dilengkapi kemasan batu permata sesuai dengan status raja sehari. Biarpun bertopeng, namun seri pengantin tetap terserlah.
Biarpun pemakaian topeng kini menjadi trend baru dunia fesyen, namun harus diingatkan supaya berhati-hati memilih topeng yang sesuai dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Kerapkan membasuh topeng anda dan pastikan topeng anda sentiasa bersih dan tidak memudaratkan sistem pernafasan anda.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]