
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak Kementerian Pendidikan juga telah menyalurkan dana kepada sekolah dan tiada alasan untuk guru menggunakan dana peribadi bagi membeli peralatan pencegahan Covid-19 itu.
“Apabila kita katakan sekolah mesti menyediakan topeng, ‘hand sanitizer’ dan alat semak suhu, ia perlu disediakan oleh sekolah, bukannya guru menyediakan secara persendirian.
”Saya difahamkan, Kementerian Pendidikan telah menyalurkan peruntukan kepada setiap sekolah untuk beli hand sanitizer, topeng,” katanya pada sidang media berhubung perkembangan terkini perintah kawalan pergerakan (PKP) di bangunan Parlimen hari ini.
Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar tempatan yang mendakwa guru terpaksa menggunakan wang peribadi untuk menyediakan topeng dan pensanitasi tangan kepada pelajar.
Dalam perkembangan lain, Ismail memaklumkan bahawa kerajaan membenarkan pekerja warganegara asing yang berada di Malaysia dan mempunyai permit kembali bekerja apabila sektor pekerjaan mereka beroperasi.
“Kebenaran ini tertakluk kepada syarat mereka perlu menjalani ujin saringan Covid-19 sebelum kembali berkerja,” katanya.