Giliran Adun Seberang Jaya ke SPRM isu projek terowong

Giliran Adun Seberang Jaya ke SPRM isu projek terowong

Afif Bahardin, bekas wakil rakyat PKR, percaya beliau dipanggil kerana pernah menjadi exco Pulau Pinang.

Afif Bahardin di ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA:
Selepas beberapa exco dan wakil rakyat di Pulau Pinang diambil keterangan, hari ini giliran Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disoal berhubung projek terowong dasar laut dan jalan bernilai RM6.3 bilion.

Bekas wakil rakyat PKR itu tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 2 petang.

“Saya percaya saya dipanggil atas kapasiti sebagai exco kerajaan negeri sebelum ini, di mana saya mengalas tugas itu dari 2013 hingga 2020, dan saya difahamkan atas sebab itu saya dipanggil.

“Apa yang akan ditanya saya tidak tahu. Semua exco dipanggil,“ katanya kepada pemberita.

Beliau juga memaklumkan SPRM tidak memintanya membawa sebarang dokumen. Keterangannya ini dibuat pertama kali berhubung skandal terowong.

“Mungkin saya dipanggil sebab saya menghadiri mesyuarat kerajaan negeri,”katanya.

Afif meletakkan jawatan exco kesihatan Pulau Pinang pada Mac. Beliau adalah penyokong bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali.

Awal bulan lalu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow ke ibu pejabat SPRM Pulau Pinang untuk disoal berhubung projek sama.

Perkembangan itu sehari selepas badan anti rasuah itu menyoal 3 exco kerajaan negeri iaitu Phee Boon Poh, Chong Eng, dan Jagdeep Singh Deo 6 Julai lalu

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, yang memaklumkan siasatan kes itu masih berjalan sejak ia dimulakan pada 2017, enggan mengulas tentang kemungkinan exco akan ditahan.

Sebelum ini, seorang bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang direman 4 hari berhubung kes itu. Beliau dibebaskan dengan jaminan RM100,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.