
Beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai pegawai dan anggota yang membayar RM4,000 hingga RM10,000 kepada pihak ketiga semata-mata untuk tujuan itu.
“Saya tidak akan sesekali bertoleransi dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang mengambil suapan bagi meluluskan peperiksaan dalaman polis (kepada pihak terbabit).
“Oleh yang demikian, polis akan mewujudkan satu sistem khas bagi mengelak pihak ketiga mengakses dan mengubah keputusan peperiksaan kenaikan pangkat,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman.
Hamid berkata, sistem itu akan dikendalikan pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
“Ini kerana setiap peperiksaan yang dikendalikan polis perlu ada tapisan dan ia harus dikendalikan dengan penuh disiplin, berintegriti serta amanah.”
Katanya, sistem itu akan mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi bagi mengelakkan digodam individu tidak bertanggungjawab untuk mengubah keputusan peperiksaan.
“Beberapa tahun lepas, terdapat satu kes melibatkan orang dalam dan pelatih polis yang ditahan dan diambil tindakan berhubung perkara terbabit.
“Ada jurulatih yang menawarkan jawatan detektif dan mengaturkan posisi itu kepada seorang pelatih yang ketika itu masih dalam peringkat latihan,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
Katanya, Jabatan Pengurusan menyedari dan mengambil maklum isu tersebut.