
Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kedua-dua penerbangan, yang dikendalikan Malaysian Airlines melakukan perjalanan ke Amritsar dan Chennai, India.
“Pelaksanaan penghantaran pulang ini, yang menyaksikan kerjasama berterusan antara kerajaan Malaysia dan India, berjaya dilakukan hari ini.
“Penerbangan ke Amritsar berlepas pada 9.15 pagi waktu tempatan membawa 219 rakyat India manakala penerbangan ke Chennai berlepas pada 12.10 malam waktu tempatan membawa 148 rakyat India,” katanya.
Kenyataan itu juga menyebut, Suruhanjaya Tinggi India menjalin kerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia bagi penghantaran pulang awal rakyatnya yang ditahan di negara ini.
Ia turut memaklumkan mulai 9 Mei hingga hari ini, kerajaan India mengendalikan sejumlah 27 penerbangan di bawah Misi Vande Bharat dari Kuala Lumpur ke pelbagai destinasi di India bagi membolehkan rakyatnya yang terkandas pulang ke tanah air mereka.
Setakat ini, seramai 4,679 rakyat India pulang ke India dengan penerbangan Vande Bharat.