Kluster Perhimpunan Seri Petaling ‘tamat’

Kluster Perhimpunan Seri Petaling ‘tamat’

Kluster Covid-19 terbesar itu dikesan daripada peserta himpunan keagamaan yang dihadiri 16,000 orang termasuk 14,500 orang tempatan.

PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan mengisytiharkan kluster Covid-19 terbesar iaitu Kluster Perhimpunan Seri Petaling tamat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan kluster itu dikesan daripada peserta himpunan di sebuah masjid di Seri Petaling, yang dihadiri seramai 16,000 orang termasuk 14,500 orang tempatan dan 1,500 warga asing pelbagai negara.

Himpunan itu berlangsung selama 4 hari dari 24 Feb hingga 3 Mac.

Hisham melaporkan kes positif pertama di Malaysia dari kluster itu dilaporkan pada 11 Mac iaitu seminggu selepas perhimpunan tamat, iaitu kes 131 dan kes 136.

“Mereka warganegara Malaysia dari Pahang dan Negeri Sembilan yang hadir perhimpunan tersebut,” katanya.

Hisham berkata jangkitan kemungkinan besar berpunca dari luar negara dan tular ke seluruh negara melalui kontak rapat.

Sehingga hari ini, seramai 42,023 individu dalam kluster itu disaring, yang mana 3,375 didapati positif, bersamaan 38.9% daripada jumlah keseluruhan kes jangkitan.

“Kes-kes bagi kluster dan sub-kluster bawahnya dikesan di 7 negeri, melibatkan 2,550 warganegara Malaysia dan 825 bukan warganegara dari 28 buah negara.

“Kebanyakan kes positif kluster ini tidak bergejala iaitu 2,187 kes, atau 64.8% daripada jumlah keseluruhan kes positif kluster ini,” katanya.

Hisham melaporkan 87 pesakit daripada kluster itu dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan 29 memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Seramai 3,341 individu sembuh, justeru menjadikan kadar pesakit yang sembuh 98.9%. Tiada lagi kes aktif dalam kluster ini,” katanya.

Seramai 34 kematian daripada kluster itu dilaporkan, bersamaan 28.1% daripada jumlah keseluruhan kes kematian.

“Kes kematian ini terdiri daripada 31 warganegara Malaysia dan 3 bukan warganegara. Jumlah tersebut melibatkan 30 orang lelaki dan 4 orang perempuan,” katanya.

Hisham melaporkan sejak dari awal pengesanan kluster itu, kerajaan menjalankan pendekatan tertumpu secara agresif dan meluas.

Ia tertumpu pada kumpulan sasar dalam kluster itu seperti peserta dan kontak rapat, serta pelajar dan kakitangan pusat tahfiz di seluruh negara.

“Kementerian Kesihatan mengesan sebanyak 17 subkluster dalam kluster ini.

“Implementasi kawalan sempadan antarabangsa juga dapat memastikan tidak berlaku lagi penularan jangkitan Covid-19 yang berpunca dari luar negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.