
Pengarah JSPT Bukit Aman, Azisman Alias berkata cadangan itu ekoran kegiatan lumba haram yang semakin berleluasa dan di bawah akta itu, penganjur perlumbaan haram boleh dikenakan hukuman buang daerah.
“Tindakan Poca ini juga mampu memberikan kesedaran kepada mereka sebelum berbuat sesuatu yang melanggar undang-undang.
“Lagipun semua pesalah yang menunggang motosikal secara berbahaya seperti merempit yang ditahan juga akan direkodkan di dalam sistem polis supaya orang ramai lebih berhati-hati daripada terjerumus dengan aktiviti itu,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata, rekod itu akan memberikan reputasi buruk terhadap pesalah, terutama golongan muda yang terlibat dalam kegiatan haram itu.
“Jadi, apabila anak muda yang mempunyai rekod kesalahan berkaitan rempit atau Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya, adalah sukar untuk mereka memohon pekerjaan satu hari nanti kerana dikhuatiri akan ditolak disebabkan rekod mereka.”
Azisman turut menasihati semua pihak, terutama anak muda supaya tidak terjebak dalam aktiviti haram itu.
Beliau memohon kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kegiatan seperti perlumbaan haram kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, polis akan meningkatkan pemantauan terhadap bengkel atau individu yang didapati terlibat dalam aktiviti mengubah suai motosikal tanpa mengikut spesifikasi dibenarkan.
“Kita difahamkan ada juga yang mengubah motosikal mereka sehingga tidak mempunyai brek demi membuat aksi berbahaya.”
Beliau berkata, 358 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam satu operasi tertutup JSPT di Lebuhraya Pantai Timur 1 menghala ke Kuala Lumpur kira-kira 2 petang Ahad lalu.