PPBM sokong calon BN di PRK Chini demi kemenangan pertama PN

PPBM sokong calon BN di PRK Chini demi kemenangan pertama PN

Muhyiddin Yassin berkata, akar umbi PPBM Bahagian Pekan sudah digerakkan untuk berkempen bagi Mohd Sharim Md Zain.

Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan Mohd Sharim Md Zain pada PRK Chini bakal memberi isyarat kepada rakyat Malaysia tentang keupayaan PN untuk menjayakan agenda kebajikan rakyat dan kemajuan negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PPBM menyuarakan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Chini di Pahang pada 4 Julai ini.

Presidennya, Muhyiddin Yassin berkata akar umbi PPBM Bahagian Pekan sudah digerakkan untuk berkempen bagi Sharim untuk memastikan kemenangan pertama Perikatan Nasional (PN).

“Saya menyeru 20,990 pengundi di DUN Chini keluar beramai-ramai, berikan sokongan padu kepada calon BN pada 4 Julai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, kesepakatan dan kematangan parti dalam PN untuk berkempen serta berkongsi pentas politik secara terbuka di PRK Chini adalah langkah bersejarah ke arah pembentukan perikatan itu untuk menjadi gabungan politik kukuh dan mantap.

“Kemenangan calon BN yang mewakili PN dalam PRK Chini bakal memberi isyarat kepada rakyat Malaysia tentang keupayaan PN sebagai gabungan parti politik yang mampu bekerjasama untuk menjayakan agenda kebajikan rakyat dan kemajuan negara.”

Katanya, pilihan pengundi Chini bukan saja menentukan pembangunan serta masa depan Chini, tetapi akan membuka lembaran baru kepada hala tuju politik di peringkat nasional.

Kenyataan ini menyusul sokongan bekas pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad yang menggesa pengundi menyokong calon bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin yang merupakan bekas pemimpin akar umbi parti itu.

PRK Chini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara Sharim, Tengku Zainul dan aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli.

Chini antara 4 kerusi DUN di bawah Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri, Najib Razak.

PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

Abu Bakar yang mewakili BN pada pilihan raya umum 2018 meraih majoriti 4,622 undi, mengetepikan calon PAS yang mendapat 5,405 undi dan calon PKR mewakili Pakatan Harapan yang memperoleh 1,065 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.