Petronas nafi laporan ‘konflik bayaran cukai jualan kepada Sarawak’

Petronas nafi laporan ‘konflik bayaran cukai jualan kepada Sarawak’

Petronas berkata, laporan berita mendakwa konflik membabitkan perdana menteri, Petronas dan pemegang saham hanyalah laporan spekulatif tanpa asas.

Petronas berkata, ia dengan kerjasama pemegang sahamnya kini dalam proses perbincangan dengan kerajaan Sarawak untuk mencapai penyelesaian komersial yang sesuai berhubung bayaran cukai jualan untuk produk petroleum.
KUALA LUMPUR:
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menyangkal laporan berita bertajuk “Malaysian energy giant’s board at odds with prime minister over payment to Sarawak state.”

“Dakwaan konflik yang berlaku melibatkan perdana menteri, Petronas dan pemegang sahamnya hanyalah laporan spekulatif tanpa asas.

“Petronas sekali lagi ingin mengulangi sejajar kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 8 Mei 2020, Petronas dengan kerjasama pemegang sahamnya kini dalam proses perbincangan dengan kerajaan Sarawak untuk mencapai penyelesaian komersial yang sesuai,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Syarikat minyak nasional itu berkata, ia akan terus komited bekerjasama rapat dengan rakan sejawatnya di Sarawak dan pihak berkepentingan untuk mencapai hasil terbaik dalam perkara ini.

“Hasrat kami untuk mencapai resolusi yang akan memacu kepada persekitaran perniagaan dan pelaburan lebih stabil dan selesa dalam industri minyak dan gas, yang menjadi sangat penting berikutan cabaran pasaran semasa.”

Bulan lalu, Petronas dan kerajaan Sarawak dalam kenyataan bersama berkata, syarikat gergasi minyak itu bersetuju membayar cukai jualan ke atas produk petroleum yang dikenakan Sarawak sebanyak RM2 bilion bagi 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.