
Dalam memo yang dilihat FMT, Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) berkata rancangan ini sebahagian langkah pengurangan kos, berikutan bilangan pengambilan baru yang rendah bagi untuk semester April.
“Walaupun jutaan ringgit bantuan kewangan dan geran biasiswa diperolehi oleh UCSF dari pelbagai agensi, hakikatnya misi pengambilan pelajar baru gagal,” kata Naib Canselor Mohamed Haleem Mohamed Razi dalam memo itu.
“Hanya 18% daripada sasaran semester April dicapai. Keadaan ini sangat menjejaskan kedudukan kewangan UCSF.”
Menurut skim pengurangan kos itu, kakitangan akan dikenakan pengurangan gaji kasar sebanyak 50% dengan jam bekerja dikurangkan kepada 20 jam seminggu.
Sekiranya kedudukan kewangan universiti itu tidak meningkat pada September, jumlah kakitangan aktif akan dikurangkan kepada bilangan minimum untuk mengekalkan operasi.
“Dan meletakkan sebahagian daripada staf bawah program cuti tanpa gaji (CTG). Dalam tempoh dari Oktober dan seterusnya, kakitangan yang terlibat dengan program ini dibolehkan untuk mencari kerja di tempat lain,” katanya dalam memo yang dikeluarkan kepada kakitangan universiti semalam.
UCSF, yang ditubuhkan pada 2013, milik Yayasan Sabah, sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri. Ketika ini ia mempunyai hampir 200 kakitangan dan 400 pelajar berdaftar.