
Memetik Jesselton Times, Presiden Shafie Apdal yang juga bekas ketua menteri, turut berjanji menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat Sabah.
Beliau juga mengulangi ikrar menyusun semula Yayasan Sabah. “Saya akan pastikan semua hasil kekayaan kembali kepada Yayasan Sabah, dan saya akan menyediakan biasiswa percuma jika yayasan ini mempunyai dana mencukupi untuk anak-anak Sabah yang kurang berkemampuan.
“Saya juga akan lupuskan semua pinjaman pelajaran kepada Yayasan Sabah yang ditanggung oleh pegawai kerajaan, sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara,” katanya dipetik sebagai berkata.
Tawaran dikemukakan meliputi mereka yang mengambil pinjaman pelajaran daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Dalam perkembangan berasingan, Malaysiakini melaporkan Shafie sebagai berkata, Warisan akan menyediakan biasiswa penuh untuk rakyat Sabah yang ingin melanjutkan pelajaran di universiti, apabila kewangan negeri kukuh, sambil menyifatkan ia sebagai pelaburan untuk generasi akan datang.
Beliau berkata, biasiswa itu akan ditumpukan kepada bidang kritikal seperti kejuruteraan dan perubatan.
Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri Sabah akan tamat pada 11 Nov ini, melainkan berlaku pembubaran lebih awal. Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.