KKM arah tutup kawasan pendakian Bukit Broga bermula Sabtu

KKM arah tutup kawasan pendakian Bukit Broga bermula Sabtu

Penutupan berkuat kuasa mulai Sabtu ini sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kawasan pendakian di Bukit Broga, Selangor ditutup susulan laporan terlalu ramai pengunjung.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan mengeluarkan perintah penutupan kawasan pendakian Bukit Broga di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berkuat kuasa Sabtu ini sehingga ke suatu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata demikian bagi menjawab laporan media berhubung tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan individu, syarikat dan industri yang mungkin semakin menurun.

“Terdapat premis kedai dan syarikat yang tidak beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan.

“Misalnya, baru-baru ini tular isu mengenai terlalu ramai pengunjung di Bukit Broga, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham berkata, SOP dan normal baru yang sering ditekankan kerajaan sememangnya berperanan sebagai sistem pertahanan negara terhadap penularan wabak Covid-19.

Katanya, KKM menyeru orang ramai supaya tidak alpa dan mengambil mudah dengan pematuhan kepada SOP dan normal baru.

“Kementerian Kesihatan berharap segala usaha kita selama ini untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 diteruskan oleh semua peringkat dan lapisan masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.