Pengundi harap lebih banyak prasarana, peluang di Chini

Pengundi harap lebih banyak prasarana, peluang di Chini

Perumahan untuk generasi ke-2 peneroka Felda penting kerana masih ramai yang tidak mempunyai kediaman sendiri dan terpaksa menumpang rumah ibu bapa.

(Gambar Bernama)
PEKAN:
Penduduk di kawasan DUN Chini berharap wakil rakyat baru kawasan itu dapat memberi penekanan terhadap pembangunan prasarana dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama untuk golongan muda.

Dua perkara berkenaan penting bagi penduduk dalam memastikan keselesaan dan kualiti kehidupan dapat ditingkatkan.

Pengerusi Majlis Belia Felda Chini 5, Mohd Fadil Ismail, 33, berkata antara pembangunan yang mahu dilihat dibangunkan ialah lebih banyak kemudahan sukan dan rekreasi.

Kemudahan seperti itu mampu membuka potensi anak-anak jati kawasan berkenaan untuk menceburi bidang sukan secara profesional.

“Saya dan golongan belia di sini berharap wakil rakyat yang menang nanti dapat melihat kemungkinan dibangunkan lagi kemudahan sukan di sini.

“Saya percaya ia akan membolehkan belia di sini mengisi masa lapang dengan aktiviti lebih berfaedah dan mengurangkan gejala sosial,” katanya kepada Bernama.

Bagi penduduk Felda Chini Timur 1 Jamilah Md Isa, 58, pula, antara isu yang perlu ditangani ialah pembangunan perumahan generasi ke-2 peneroka Felda selain meningkatkan kemudahan rawatan air bersih bagi penduduk.

Katanya, perumahan generasi ke-2 peneroka Felda penting kerana masih ramai yang tidak mempunyai kediaman sendiri dan terpaksa menumpang di rumah ibu bapa.

“Pembangunan perumahan generasi ke-2 peneroka boleh dilaksanakan di atas tanah kediaman peneroka yang sudah tidak mahu tinggal di kawasan Felda lagi, seperti yang dicadangkan suatu masa dulu,” katanya.

Selain aspek prasarana, penduduk juga berharap dapat diwujudkan peluang pekerjaan baru berbanding hanya sektor perladangan, terutama buat golongan muda.

Penduduk Felda Chini 5, Sarjuni Konting, 62, berkata peluang pekerjaan bagi penduduk perlu diberi penekanan kerana ia mampu meningkatkan ekonomi setempat.

Peneroka sejak 1983 itu mencadangkan agar projek Felda Terapai, yang ketika ini diusahakan oleh pekerja yang digajikan, dibuka kepada generasi ke-2 peneroka bagi diusahakan sekali gus menambah peluang pekerjaan bagi masyarakat di kawasan berkenaan.

“Peluang bagi mengusahakan ladang di Felda Terapai boleh diberikan kepada generasi ke-2 peneroka di sini, dengan memberikan mereka tanah untuk diusahakan sama seperti peneroka generasi pertama.

“Jika tidak dapat diberikan tanah seluas 10 ekar (4.05 hektar) seperti kami dahulu pun, mungkin boleh diberikan tanah seluas 5 ekar (2.02 hektar) kepada mereka,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini pada 4 Julai ini melibatkan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain, 41, dan 2 calon Bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.