
Golongan ini mahu peluang menjana pendapatan sendiri, keganasan rumah tangga dinoktah, akses bekalan air bersih, makanan mampu milik dan pendidikan lebih berkualiti untuk anak-anak mereka, menurut penganalisis.
Bilcher Bala daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, pengundi wanita tidak lagi termakan dengan janji-janji kosong atau abstrak. Sebaliknya, mereka didorong oleh kebimbangan praktikal seperti kos sara hidup yang meruncing, akses kepada penjagaan kesihatan dan keselamatan komuniti.
“Mereka lebih cenderung pilih calon yang benar-benar komited untuk membaiki prasarana setempat, mengembangkan program kebajikan dan menjamin peluang ekonomi yang saksama, terutamanya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar, di mana jurang ketidaksamaan masih luas,” katanya kepada FMT.
Menurut Bilcher, wanita memegang dua peranan besar, iaitu sebagai pengurus keluarga dan juga penggerak komuniti, sekaligus menjadikan mereka blok pengundi yang amat kritikal.
Beliau berkata, kebolehan wanita memimpin kini semakin diiktiraf, khususnya oleh pengundi muda dan bandar yang mementingkan nilai integriti, pendidikan dan penglibatan pada peringkat akar umbi.
“Namun begitu, calon wanita masih terhimpit dengan cabaran yang sudah lama berakar, termasuk stereotaip bahawa politik ialah ‘dunia lelaki’, kekurangan dana dan ketiadaan rangkaian politik yang kukuh, selain beban berganda menguruskan keluarga ketika sibuk berkempen,” katanya.
Kewangan keluarga masih dikawal lelaki
Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura mendedahkan realiti bahawa ramai wanita, khususnya di kawasan pedalaman, masih bergantung dengan suami dalam aspek kewangan.
“Kerap kali, usaha niaga atau kerjaya yang baru hendak berputik, seperti perusahaan mikro lestari, terbantut angkara suami. Ada yang menuntut hasil titik peluh isteri diserahkan, malah ada yang mendesak isteri berhenti kerja semata-mata kerana tidak mahu gaji isteri melebihi gaji mereka,” katanya.
Justeru, Oh mendesak calon-calon supaya menyedarkan wanita tentang hak mereka serta menumpukan kepada pendidikan dan pemerkasaan sebagai satu-satunya jalan keluar yang mampan.
“Calon mesti menawarkan masa depan yang lebih cerah, membantu mereka keluar daripada kancah kemiskinan dan menjamin pendidikan lebih baik untuk anak-anak mereka,” katanya.
Terhalang tembok budaya
Syahruddin Awang Ahmad daripada UMS menyentuh tentang keperluan wanita mendapatkan sokongan dari segi penjagaan kesihatan, penjagaan warga tua dan pemerkasaan.
“Wanitalah yang sering menggalas tanggungjawab berat menjaga ahli keluarga, maka mereka perlu sokongan komuniti yang jauh lebih kuat,” katanya.
Melihat kepada jumlah calon wanita yang sekadar 11.9%, beliau meluahkan kebimbangan bahawa isu-isu wanita mungkin hanya akan disuarakan oleh segelintir wakil sahaja.
Tegasnya, perwakilan wanita perlu ditingkatkan bagi memastikan dasar-dasar perumahan, kesihatan dan ekonomi benar-benar menyantuni keperluan kaum wanita.