
Penggunaan media sosial kini dilihat sebagai satu keutamaan dan juga salah satu platform untuk menyimpan kenangan dikongsi bersama rakan dan keluarga.
Tidak kira sama ada ia satu perkongsian yang menggembirakan atau menyedihkan, ia tetap dimuat naik bagi tontonan dan kenangan untuk semua.
Dan antara platform media sosial yang sering menjadi tumpuan sama ada perkongsian video ataupun gambar ialah di Twitter.
Baru-baru ini viral video sekumpulan budak lelaki, yang biasa bermain bola sepak bersama, melakukan aksi menjaringkan gol meskipun dalam keadaan yang menyedihkan.
Ia dilaporkan berlaku di Mexico dan dikongsi oleh pengguna Twitter Alex Stone.
“Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dibunuh di Mexico. Rakannya bawa mayat ke tempat mereka biasa bermain bola sepak sambil melakukan aksi jaringan terakhir bagi menghormati mendiang yang merupakan rakan sepasukan. Ia sesuatu yang tidak pernah dibuat sebelum ini. ”
Klip video yang memilukan itu pada mulanya dikongsi oleh pengguna Twitter @tvbus dengan kapsyen, “Rakan sepasukan Alexander menjaringkan gol terakhir untuknya.”
Video berdurasi 54 saat itu menunjukkan keranda diletakkan di salah satu sudut dan ia dikelilingi oleh sekumpulan budak lelaki.
Salah seorang budak lelaki kemudian menyepak bola ke salah seorang rakan lain, yang kemudiannya ditendang ke arah keranda dan bola melantun terus masuk ke gawang gol.
Dan ketika itulah semua orang bersorak kemudian berlari memeluk keranda dan mula menangis.
Menurut Reuters, budak lelaki berusia 16 tahun itu dikenali sebagai Alexander Martinez mati ditembak dalam satu pembunuhan manakala salah seorang rakannya turut tercedera.
Mayat Martinez dikebumikan di kampung halamannya di Vicente Camalote.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]