Tahap keselamatan siber dipertikai, data pesakit Covid-19 bocor!

Tahap keselamatan siber dipertikai, data pesakit Covid-19 bocor!

Kesemua data pesakit Covid-19 dicuri oleh seorang hacker yang berselindung di sebalik nama akaun Database Shopping.

Segala maklumat seperti tarikh pesakit disahkan dijangkiti dan gejala yang dialami mereka turut terkandung dalam data berkenaan. (Gambar Rawpixel)

Sehingga kini Indonesia menjadi negara yang mencatatkan kes jangkitan Covid-19 dan kematian tertinggi di Asia Tenggara.

Dan di saat republik itu masih lagi bergelut untuk mengekang penularan pandemik tersebut, muncul satu masalah baru apabila ratusan ribu data pesakit Covid-19 dilaporkan bocor dan dijual individu tidak bertanggungjawab ke forum dark web.

Menurut laporan CNN Indonesia, kesemua data itu dicuri oleh seorang hacker yang berselindung di sebalik nama akaun Database Shopping di forum berkenaan yang mendakwa kesemua data berkenaan dibocorkan sejak 20 Mei lalu.

Antara yang terkandung dalam data tersebut termasuklah perincian penuh mengenai pesakit Covid-19 bermula dari nama, umur, alamat dan sehinggalah hasil keputusan ujian perubatan.

Malah, segala maklumat seperti tarikh pesakit disahkan dijangkiti dan gejala yang dialami mereka turut terkandung dalam data berkenaan.

Perkara ini mengundang persoalan mengenai tahap keselamatan siber Indonesia, kerana ia jelas telah melanggar hak privasi pesakit setelah kesemua data lengkap mengenai mereka dibocorkan dan dijual di dark web.

Bagaimanapun ketika ini masih belum ada sebarang maklum balas daripada kementerian berkaitan, terutamanya Kementerian Kesihatan Indonesia berhubung isu tersebut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.