
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan bertujuan membantu pemilik perniagaan memiliki dana yang mencukupi bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.
Katanya melalui inisiatif tersebut, pihak kontraktor dan penyedia perkhidmatan akan mendapatkan bayaran bagi kerja-kerja yang dijalankan dalam tempoh masa singkat.
“Sebagai permulaan, Selangor Advance akan diperkenalkan kepada syarikat yang berurus niaga dengan pihak kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum dikembangkan kepada urus niaga melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Sebanyak RM100 juta dana permulaan diperuntukkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 yang diumumkan pada 1 April lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Amirudin berkata Selangor Advance dirangka berdasarkan sistem pembiayaan patuh syariah yang berkonsepkan “Tawarruq” bagi membantu syarikat PKS dalam soal aliran tunai.
“Diharapkan agar inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan syarikat PKS di Selangor agar dapat terus berdaya maju sekali gus menyelamatkan syarikat dan pekerja dalam kegetiran ekonomi saat ini,” katanya.
Tambah beliau, pendaftaran bagi menyertai Selangor Advance akan bermula pada 1 Julai ini dan sebarang maklumat berhubung inisiatif itu boleh didapati dengan menghubungi talian 018-282 8502, e-mel [email protected] atau layari www.selangoradvance.com.my.