
Disebabkan negara masih dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19, PRK kali ini “mencipta sejarah” kerana kebiasaan baru akan berlaku dalam perjalanan pilihan raya.
Proses penamaan bermula 9 pagi dengan bakal calon diberikan masa sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.
Bagaimanapun, hanya calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana 2 daripadanya, atau mana-mana seorang daripada mereka, dibenarkan memasuki dewan utama bagi menyerahkan kertas penamaan calon.
Pegawai Pengurus PRK, Zaliza Zulkipli dijangka mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada 11 pagi nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baru khusus bagi PRK Chini untuk mengelakkan berlaku “kluster pilihan raya”.
Berdasarkan SOP itu, penyokong parti dilarang berada di pusat penamaan calon, selain tiada perarakan atau perhimpunan dibenarkan, berbanding kebiasaan PRK yang meriah dengan sorakan dan laungan penyokong parti dan calon bertanding.
Penyokong calon dan parti hanya boleh berada 1.5km dari pusat penamaan calon demi mematuhi penjarakan sosial.
Selain SPR, kakitangan Kementerian Kesihatan turut ditempatkan di pusat penamaan calon bagi mengesan jika ada calon, penyokong atau pencadang yang mempunyai gejala Covid-19.
Ini ialah PRK ke-11 sejak pilihan raya umum ke-14 yang menjadi “ujian pertama” buat kerajaan Perikatan Nasional dibentuk Mac lalu dan kesinambungan kerjasama Muafakat Nasional antara Umno serta PAS, yang mula terbentuk sejak PRK Parlimen Cameron Highlands.
Barisan Nasional mengumumkan Mohd Sharim Md Zain, 41, yang merupakan pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan sebagai calon mereka untuk mempertahankan kerusi tradisi Umno itu.
Walaupun Pakatan Harapan memutuskan tidak meletakkan calon pada PRK ini, namun Sharim yang merupakan generasi kedua Felda Chini dijangka berdepan tentangan daripada calon bebas, iaitu ahli perniagaan Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mengumumkan akan bertanding menggunakan simbol rumah.
PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu akibat serangan jantung. Beliau menjadi Adun Chini sejak PRU11.
Pada PRU14 lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi, selepas meraih 10,027 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.