NGO beri amaran SOP pra-sekolah, tadika mungkin bertahan beberapa minit

NGO beri amaran SOP pra-sekolah, tadika mungkin bertahan beberapa minit

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata penjarakkan sosial dan peraturan lain akan dilupakan pada hari pertama.

Badan pemikir berkata memastukan pematuhan SOP di pra-sekolah dan tadika ‘amat sukar’.
PETALING JAYA:
Pemantau kesihatan memberi amaran langkah pencegahan Covid-19 di pra-sekolah dan tadika sukar bertahan lama, ketika pra-sekolah dan tadika bersiap sedia untuk beroperasi selepas beberapa bulan ditutup kerana perintah kawalan pergerakan.

“Bagaimana anda mahu pastikan kanak-kanak di pra-sekolah patuhi peraturan penjarakkan sosial? Adakah setiap objek yang disentuh kanak-kanak akan dinyahjangkit?

“Hakikatnya sebarang protokol berhubung pencegahan dan kawalan Covid-19 di pra-sekolah, tadika, dan sekolah rendah tidak akan melepasi tempoh pertama hari pertama persekolahan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan pra-sekolah dan tadika akan dibenarkan beroperasi bermula 1 Julai, mengatakan tatacara operasi standard bagi kanak-kanak masuk ke sekolah, semasa di kelas, di waktu rehat, dan keluar sekolah akan diperkenalkan.

Azrul bagaimanapun berkata tingkah laku sosial kanak-kanak kecil, terutama di pra-sekolah, antaranya berada dekat dengan rakan dan sangat aktif.

Hal ini menyukarkan pematuhan SOP bagi guru dan pentadbir sekolah, tambahnya.

Sebanyak 6,216 pra-sekolah awam dan 7,887 pra-sekolah swasta, serta 8,530 tabika bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan 1,781 bawah Kementerian Perpaduan Negara dibenarkan beroperasi bermula 1 Julai.

Sekolah di seluruh negara ditangguhkan sejak 14 Mac bagi mengekang penularan Covid-19.

Sementara itu, pakar pediatrik Dr Azam Mohd Nor berkata kanak-kanak sukar mematuhi SOP seperti penjarakkan sosial.

Azam dari Hospital Pantai, mencadangkan sekolah dibuka secara berperingkat atau mengikut jadual berperingkat.

“Adalah penting kelas bersambung semula dan kanak-kanak meneruskan pembelajaran,” katanya. “Bagaimanapun, ibu bapa dan pentadbir sekolah harus mengawasi kanak-kanak dengan dekat.”

Dalam kenyataan kepada FMT, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yakin kementerian berkaitan sudah menilai tahap keselamatan pembukaan semula pra-sekolah dan tadika sebelum pengumuman menteri.

Presiden Dr N Ganabaskaran berkata guru dan kakitangan pra-sekolah dan tadika mungkin perlu mencari cara kreatif untuk menyesuaikan kanak-kanak dengan persekitaran baru, dan mereka ada “tanggungjawab besar” untuk pastikan mereka tidak membawa jangkitan ke sekolah.

Walaupun Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) menyokong langkah kerajaan membuka pra-sekolah dan tadika, keputusan muktamad di tangan ibu bapa, katanya.

Memetik artikel Persatuan Pediatrik Malaysia tentang keselamatan membuka sekolah, jurucakapnya Tunku Munawirah Putra berkata membuka semula sekolah “agak selamat” selagi langkah wajar dilaksanakan bagi mengurangkan penularan Covid-19.

“Membuka semula sekolah harus mengimbangi risiko pendedahan dan mengasuh minda pelajar. Pada ketika ini, melanjutkan penutupan sekolah akan lebih menjejaskan,” katanya kepada FMT.

“Akhirnya, keputusan untuk menghantar anak ke sekolah bergantung kepada ibu bapa dan sam ada mereka yakin dengan SOP dan pelaksanaannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.