
Keenam-enam mereka, Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah dan Marzuki Yahya memohon perintah ad-interim bagi mengekalkan kedudukan masing-masing, sementara menunggu permohonan injuksi utama kedua-dua pihak didengar pada 9 Julai ini.
Hakim Rohani Ismail menolak permohonan injuksi ad-interim untuk beberapa deklarasi sementara menunggu perbicaraan injuksi inter parte berhubung saman mereka terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan 2 lagi.
Pada 9 Jun, Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Maszlee, Amiruddin, Marzuki dan parti itu sendiri mengemukakan saman terhadap Muhyiddin, yang juga presiden PPBM dan pemangku pengerusi; setiausaha agung, Hamzah Zainudin; setiausaha kerja, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan, terhadap pembatalan keanggotaan mereka dalam PPBM bulan lepas.
Peguam Muhyiddin, Rosli Dahlan memberitahu pemberita bahawa kesemua 6 plantif yang mendakwa mereka masih anggota parti berkenaan tidak memperoleh injuksi ad-interim yang mereka tuntut.
Mahkamah selepas melihat kepada hujah semua pihak membuat keputusan bahawa imbangan prinsip perundangan tidak mewajarkan ia dibenarkan berdasarkan kepada nas dan prinsip perundangan.
“Jadi status quo kekal hari ini. Kedudukan kami ialah mereka bukan lagi ahli parti itu disebabkan tindakan dan tingkah laku mereka sendiri, bukannya daripada tindakan kami atau PPBM yang menamatkan keahlian mereka,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di kamar.
Peguam itu juga berkata, bahawa anak guamnya dengan 3 lagi defendan mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan terhadap mereka dan mahkamah akan mendengar perkara itu juga pada 9 Julai.
Beliau menjelaskan bahawa permohonan untuk pembatalan itu antara lain berhubung dengan kedudukan perundangan bahawa PPBM tidak boleh dinamakan sebagai plaintif dalam saman itu kerana ia adalah salah.
“Ända tidak boleh menjadikan sebuah pertubuhan sebagai plaintif, sebaliknya ia perlu sebagai defendan kerana anda memperkatakan pertubuhan itu sebahagian daripada yang melakukan kesalahan,” katanya dan menambah bahawa permohonan itu difailkan semalam.
Rosli selanjutnya berkata, defendan juga memohon untuk membatalkan keseluruhan tindakan kerana ia adalah satu tindakan buruk, remeh, menjengkelkan, melampau dan penyalahgunaan proses mahkamah, dan Mahathir dan plaintif yang lain tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan undang-undang.
Sementara itu, peguam Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu pemberita bahawa hari ini ditetapkan untuk perbicaraan bagi permohonan mereka untuk pelbagai perintah sementara.
“Malangnya kerana terdapat keperluan mendesak perkara itu difailkan minggu lepas, defenden memerlukan masa untuk memfailkan afidavit dan penyerahan,” katanya
Mohamed Haniff berkata, mereka mendapatkan perintah sementara agar status quo plantif dalam parti itu mulai hari ini perlu diterima agar tidak ada kerosakan sehingga perkara itu didengar pada 9 Julai.
Dalam penyataan tuntutan, Mahathir, plaintif pertama, memohon pengisytiharan yang beliau adalah ahli dan pengerusi PPBM yang sah dan beliau kini pengerusi yang telah memenangi jawatan itu tanpa bertanding pada pemilihan akan datang.
Mukhriz memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah ahli dan timbalan presiden PPBM yang sah dan calon sah untuk pemilihan parti itu akan datang.
Syed Saddiq memohon satu pengisytiharan bahawa beliau adalah ahli dan ketua Pemuda PPBM yang sah manakala Maszlee dan Amiruddin memohon pengisytiharan bahawa mereka juga ahli parti yang sah dan Marzuki memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah setiausaha agung PPBM yang sah.
Plaintif juga memohon pengisytiharan bahawa semua surat pemberhentian yang ditandatangani Muhammad Suhaimi bertarikh 28 Mei lepas dan pengesahan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bertarikh 4 Jun lepas adalah tidak sah dan terbatal.
Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa keahlian Muhyiddin, Hamzah dan Muhammad Suhaimi dalam PPBM adalah terlucut, berkuat kuasa pada 28 Feb, 2020 dan/atau 29 Feb, 2020, menurut Fasal 10.2.3 perlembagaan parti.
Turut dimohon ialah perisytiharan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 adalah tidak terpakai untuk menghalang pelupusan pertikaian berkenaan oleh mahkamah dan bahawa Fasal 10.2.6 perlembagaan PPBM tidak terpakai di atas hal melucutkan/ memberhentikan keahlian semua plaintif.
Mereka juga memohon perintah injunksi dikeluarkan kepada ROS untuk membuat pendaftaran atau pembetulan ke atas semua dokumen PPBM seperti diperintahkan mahkamah secara serta merta, ganti rugi am dan relif lain difikirkan wajar oleh mahkamah.