Azalina bidas siasatan ke atas Yeoh berkait tweet kahwin bawah umur

Azalina bidas siasatan ke atas Yeoh berkait tweet kahwin bawah umur

Bekas menteri itu berkata, ia akan merobohkan benteng untuk menyiasat ahli Parlimen dan Adun yang menyuarakan pandangan mereka di Twitter.

Azalina Othman menyifatkan siasatan polis ke atas Hannah Yeoh disebabkan satu tweet mengenai perkahwinan bawah umur 3 bulan lalu akan menjadi duluan teruk.
PETALING JAYA:
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman membidas 2 menteri berhubung siasatan polis ke atas Hannah Yeoh mengenai satu tweet berkaitan perkahwinan bawah umur yang disifatkannya akan menjadi duluan teruk.

“(Ia akan) merobohkan benteng tidak perlu untuk menyiasat ahli Parlimen dan ADun kerana menyuarakan pandangan mereka di Twitter,” kata ahli Parlimen Pengerang daripada Barisan Nasional di Twitternya hari ini.

Azalina turut “tag” Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah serta Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin.

Tweet Azalina itu, yang sebelum ini menggesa perkahwinan bawah umur diharamkan, menyusul bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Dr Wan Azizah Wan Ismail tampil mempertahankan bekas timbalannya, Yeoh.

Azalina kemudiannya memberitahu FMT, jika pihak berkuasa benar-benar mahu menyiasat sesiapa, mereka patut ke platform lebih penting seperti Facebook atau merujuk kenyataan yang dibuat.

“Jika ia hanya satu tweet, ia sangat lemah.”

Semalam, Yeoh memaklumkan beliau dipanggil Bukit Aman berhubung satu catatan Twitternya 3 bulan lalu mengenai perkahwinan bawah umur.

Dalam tweetnya pada 9 Mac lalu, Yeoh mempersoalkan apa yang akan berlaku kepada Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur selepas pelantikan penggantinya, Siti Zailah Mohd Yusoff daripada PAS.

Polis kemudiannya mengesahkan Yeoh disiasat kerana mengeluarkan kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Terdahulu, Wan Azizah dilaporkan berkata, Siti Zailah ialah ahli Parlimen dari Kelantan, yang merupakan antara 7 negeri tidak bersetuju menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

“Adakah salah bagi Hannah Yeoh yang turut sama merangka pelan strategi tersebut bertanya mengenai status dan kemajuan pelan tersebut kepada Siti Zailah?” kata bekas timbalan perdana menteri itu dalam kenyataan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.