5 jenis masalah kulit sering berlaku jika terlalu lama pakai topeng!

5 jenis masalah kulit sering berlaku jika terlalu lama pakai topeng!

Jika tahu mempunyai kulit yang sensitif, elak keluar rumah dengan kerap.

Jika tahu mempunyai kulit yang sensitif, elak keluar rumah dengan kerap.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pemakaian topeng hidung dan mulut sudah menjadi satu kemestian sewaktu keluar rumah.

Pemakaian topeng jelas bertujuan bagi mengurangkan risiko si pemakai daripada terdedah kepada jangkitan virus Covid-19.

Namun, timbul pula masalah lain akibat daripada pemakaian topeng yang berterusan; iaitu masalah kulit wajah.

Topeng sebabkan keradangan dan masalah kulit muka

Ada sesetengah individu yang boleh mendapat iritasi atau keradangan pada kulit wajah mereka apabila mengenakan topeng.

Apatah lagi jika topeng yang dipakai itu digunakan dalam jangka masa yang agak panjang.

Sebagai contoh, petugas barisan hadapan yang memakai topeng selama berjam-jam sewaktu bertugas.

Mungkin kita juga pernah memakainya dengan kadar waktu yang lama seperti sewaktu menaiki kenderaan awam atau ketika di tempat kerja.

Antara punca mengapa keradangan kulit ini boleh berlaku adalah disebabkan kurangnya laluan udara pada wajah, yang menyebabkan kelembapan berkumpul pada kulit muka.

Selain itu, geseran antara topeng dan juga kulit wajah juga boleh menyebabkan keradangan.

5 jenis masalah kulit yang boleh berlaku dan cara merawatnya

Berikut 5 jenis keadaan atau masalah kulit yang boleh berlaku, disebabkan oleh pemakaian topeng:

1. Topeng sebabkan kulit kering, gatal

Pemakaian topeng secara berterusan boleh menyebabkan kulit menjadi gatal dan juga menggelupas.

Jika topeng tersebut diperbuat daripada kapas atau sebarang bahan yang boleh menyerap kelembapan, kulit muka akan menjadi bertambah kering.

Ini kerana kain topeng tersebut menyerap minyak semula jadi pada muka anda.

Bagaimana untuk merawatnya:

  • Gunakan pencuci wajah yang bersifat lembut
  • Selepas selesai mencuci wajah, lapkan muka anda dengan menggunakan kain yang lembut sehingga kering. Jangan sesekali menggosoknya.
  • Setelah itu, gunakan krim pelembap untuk melembapkan kembali wajah anda. Gunakan krim yang mempunyai kandungan ceramide, gylcerin dan hyaluronic acid kerana sebatian ini mampu mengekalkan kelembapan kulit

2. Jerawat

Bagi mereka yang lebih cenderung untuk mendapat jerawat, pemakaian topeng boleh menyebabkan jerawat bertambah dengan lebih banyak.

Ini kerana, bakteria dan mikroorganisma lain boleh berkumpul dan membiak di sebalik topeng yang dipakai itu.

Apatah lagi dengan kewujudan kelembapan daripada nafas atau peluh, jerawat akan menjadi lebih mudah terbentuk.

Bagaimana untuk merawatnya:

  • Bagi merawat jerawat yang muncul, gunakan pencuci muka bukan komedogenik (non-comedogenic), iaitu jenis produk penjagaan kulit wajah yang berfungsi menghalang penyumbatan liang pori. Gunakannya sebanyak 2 kali sehari
  • Kurangkan penggunaan topeng dengan cara mengurangkan pergerakan keluar rumah tanpa keperluan mendesak.

3. Rosacea berlaku disebabkan pemakaian topeng

Rosacea adalah satu keadaan di mana saluran darah pada wajah menjadi mengembang atau membesar, lalu menyebabkan pipi, dahi, hidung dan juga dagu menjadi kemerah-merahan.

Antara punca yang menyebabkan rosacea berlaku disebabkan haba atau kepanasan.

Apabila anda memakai topeng, bahagian wajah yang terlindung boleh menyebabkan suhu kulit meningkat dan menyebabkan rosacea berlaku.

Bagaimana untuk merawatnya:

  • Terdapat beberapa jenis ubat-ubatan yang boleh didapati di farmasi bagi merawat rosacea. Tetapi ia memerlukan preskripsi daripada doktor terlebih dahulu sebelum membelinya. Berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan kepastian berkenaan masalah kulit yang sedang dialami. Selain itu, anda boleh cuba menyejukkan kulit anda dengan merenjis sedikit air sejuk pada kulit kemerahan tersebut

4. Dermatitis

Pemakaian topeng yang berpanjangan juga boleh menyebabkan kerengsaan kulit yang disebut sebagai dermatitis.

Ia biasanya menyebabkan kegatalan, kekeringan, kerengsaan malah kemerahan pada kulit.

Kulit juga mungkin menjadi bersisik atau menggelupas bahkan boleh membengkak.

Bagaimana untuk merawatnya:

  • Bagi kes dermatitis yang sederhana dan tidak serius, anda boleh mengambil ubat antihistamin seperti Benadryl
  • Boleh juga menggunakan krim steroid topikal seperti krim dengan kandungan hydrocortisone sebanyak 1%
  • Gunakan juga jenis pencuci muka yang lembut dan tidak merengsakan kulit

5. Rasa sakit pada kawasan tertentu di telinga dan juga hidung

Anda pasti boleh bayangkan jika memakai topeng dalam tempoh yang lama.

Anda akan berasa sedikit sakit atau tidak selesa pada bahagian telinga iaitu tempat di mana tali topeng tersebut disangkut selain pada hidung.

Rasa sakit yang dialami tersebut disebabkan oleh geseran antara topeng dan juga kulit wajah anda.

Bagaimana untuk merawatnya:

  • Rehatkan wajah anda daripada memakai topeng buat seketika. Jika anda berada di kawasan yang agak selamat, tanggalkan sebentar untuk memberikan kelegaan pada telinga dan hidung anda.

Bagi mengelakkan anda daripada mengalami keadaan-keadaan seperti berikut, cuba untuk kurangkan pergerakan keluar rumah.

Keluar rumah hanya bagi urusan-urusan penting sahaja. Apabila anda kurang keluar rumah, maka anda juga tidak perlu memakai topeng tersebut.

Hal ini akan dapat mengelakkan wajah daripada masalah kulit seperti yang dinyatakan di atas. Mencegah itu ternyata lebih berkesan daripada mengubati.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.