
Memang ada benarnya pendapat dua penganalisis yang disiar FMT semalam. Tidak menamakan ketua pembangkang sehingga kini hanya menunjukkan Perikatan Nasional berada dalam keadaan tidak menentu, tidak tentu arah dan tidak mampu buat keputusan. ‘Fickle mindedness which does not bode well for a coalition who wants to be government’.
Sebelum bercerita panjang imbau kembali 4 Mac lalu. PN memutuskan Ahli Parlimen daripada PAS akan dilantik ketua pembangkang. Tetapi tidak menamakan si Ahli Parlimen itu meskipun mendakwa sudah ada calon yang boleh dipilih.
Sementara itu, kata PN Hamzah Zainudin Ahli Parlimen Larut yang dipecat Bersatu Februari lalu kekal ketua pembangkang. ‘A partyless’ ketua pembangkang.
Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika itu kata ketua pembangkang baharu akan diumumkan ‘sebelum akhir Mac ini’. Lantas saya ada bertanya apa yang susah sangat nak umum. Waktu Samsuri berkata beberapa minggu sebelum tibanya Ramadan. Sekarang bukan sahaja Ramadan sudah berlalu, Syawal pun sudah di penghujung. Nama si ketua pembangkang masih belum diumum.
Malah, Sabtu lalu (12 April) tup tup Hamzah pula letak jawatan. Jawatan ketua pembangkang terus ‘jatuh’ kosong. Dalam PN masih belum menamakan pengganti, Hamzah letak jawatan.
Sebelum itu yakni 3 April lalu Presiden PAS Hadi Awang dipetik Bernama berkata calon ketua pembangkang belum muktamad. Pulak dah. Bunyi macam lain dengan apa Samsuri katakan. Tak apalah.
Menurut Hadi, soal ketua pembangkang akan diputuskan sebelum sidang Parlimen Jun ini. Giliran bekas pengerusi PN Muhyididn Yassin pula untuk bertanya ‘apa yang susah sangat ni?
Mungkin PN khususnya PAS ada sebab tersendiri untuk melengah-lengahkan menamakan ketua pembangkang. Pelbagai teori dan spekulasi timbul yang saya pun ada menulis mengenainya. Tidak perlu saya ulang di sini. Cuma ingin menegaskan khalayak melihat apa yang berlaku (atau yang tidak berlaku) bagai suatu kekalutan yang melucukan.
Tampil Takiyudidn Hassan setiausaha agung PN dengan penjelasan yang menurut saya mengundang pelbagai pertanyaan. Takiyuddin kata Hamzah melepaskan jawatan ketua pembangkang demi ‘memastikan suasana lebih harmoni serta memperkukuhkan Perikatan Nasional’.
Ertinya, susana dalam PN tidak harmoni dan tidak kukuh lantas mesti diperkukuhkan jika Hamzah kekal ketua pembangkang. Tetapi bukankah PAS (parti Takiyuddin) sudah kata Ahli Parlimennya yang akan dilantik? Apa masalahnya?
Lantiklah dan suasana harmoni akan terjalin, PN akan diperkukuhkan. Tak perlulah Hamzah ‘berkorban’ demi kebaikan PN. Tak begitu? Membawa kepada persoalan – mengapa tidak letak jawatan Mac lalu apabila PN umum ketua pembangkang yang baharu akan datang daripada PAS?
‘Why now?’ Adakah letak jawatan hanya sekarang (Sabtu lalu) akan wujudkan keharomnian PN dan tetapi tidak jika ia dilakukan pada Mac?
Menurut Takiyuddin dalam surat kepada pengerusi PN untuk memaklumkan peletakan jawatannya Hamzah ‘berharap tindakannya itu dapat memudahkan proses dalam PN sekali gus memastikan kelancaran pentadbiran dan keharmonian dalam gabungan pembangkang utama negara’. Bagaimana?
Maksud saya bagaimana ‘proses dalam PN’ dapat dipermudahkan dengan peletakan jawantannya? Dan proses apa?
Perhatikan ‘harmoni’ disebut lagi. Maknanya keadaan cukup tidak harmoni dengan adanya Hamzah sebagai ketua pembangkang? Sekarang beliau sudah letak jawatan, bolehkah disimpulkan PN sudah harmoni?
Sekarang apa akan jadi? ‘What’s the way forward?’ Kata Takiyuddin (dan ini saya petik laporan Astro Awani 13 April lalu) PAS sudah mempunyai calon yang sesuai untuk menggantikan Hamzah.
Tetapi walaupun sudah ada ‘calon sesuai’ Takiyuddin seterusnya berkata ‘perkara itu dalam peringkat perbincangan dan belum diputuskan lagi’.
Maksudnya ‘calon sesuai’ yang Takiyudidn sebut itu bukanlah ‘confirmed’ sesuai? Jika betul-betul sesuai mestilah PN dan PAS selaku ‘taiko’ gabungan sudah buat keputusan melantik calon sesuai itu. Tidak perlulah perkara itu berada pada peringkat perbincangna lagi?
Saya akhiri penulisan kali ini begini. Jika apa yang berlaku ini diibaratkan masalah atau penyakit saya anggap PN khususnya PAS yang cari penyakit.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.