PN menang isu 3 serangkai Sabah selesai, kata Muhyiddin

PN menang isu 3 serangkai Sabah selesai, kata Muhyiddin

Pengerusi PN berkata pasukan khas akan dibentuk bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap masalah air, elektrik dan jalan di Sabah.

muhyiddin yassin
Muhyiddin Yassin berkata PN juga akan fokus kepada usaha kembangkan ekonomi di Sabah jika tadbir negeri itu.
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata masalah tiga serangkai air, elektrik dan jalan raya akan diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun jika gabungan itu diberi mandat mentadbir selepas PRN hujung bulan ini.

Masalah berulang membelenggu rakyat Sabah tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan tanpa tindakan jelas dan terancang, menurut Muhyiddin yang juga menyatakan komitmen PN mengembangkan ekonomi Sabah.

Jelas bekas perdana menteri itu, PN tidak mahu hanya sekadar bercakap sebaliknya akan menjadikan komitmen terbabit dalam bentuk dokumen hitam putih sebagai janji rasmi yang perlu ditunaikan

“Kita akan adakan kajian segera dengan tubuh pasukan (khas) supaya pakar meneliti isu pokok belum selesai dan akan jemput wakil rakyat sabah duduk berbincang.

“Ia bagi mencari tindakan susulan segera supaya isu pokok diselesaikan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum mengumumkan 40 calon PN pada PRN Sabah.

Penamaan calon PRN akan berlangsung Sabtu ini dengan undi awal 25 Nov sebelum pengundian pada 29 Nov.

Mengulas lanjut, pencegahan rasuah juga akan menjadi fokus PN jika diberi mandat menerajui Sabah.

“Ia mesti dibanteras hingga ke akar umbi. Ini janji PN dalam manifesto yang akan dikeluarkan nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.