Pesakit Covid-19 tak mahu pulang selepas 14 hari rawatan akan dipindah ke pusat kuarantin

Pesakit Covid-19 tak mahu pulang selepas 14 hari rawatan akan dipindah ke pusat kuarantin

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ada di kalangan pesakit Covid-19 yang dirawat sehingga 56 hari atau 2 bulan di hospital.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit yang disahkan positif walaupun selepas 14 hari dirawat, akan dipindahkan dari hospital ke tempat lain, seperti institut latihan yang dijadikan pusat kuarantin.
PUTRAJAYA:
Pesakit Covid-19 yang tidak mahu pulang ke rumah selepas disahkan positif walaupun sudah menjalani rawatan selama 14 hari, akan ditempatkan di pusat kuarantin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit itu akan dipindahkan dari hospital ke tempat lain, seperti institut latihan yang dijadikan pusat kuarantin.

“Sebelum ini ada pesakit Covid-19 yang dirawat sampai 56 hari atau 2 bulan.

“Jika mereka tak nak balik, kita akan lihat bagaimana kita boleh tempatkan mereka. Bukan di hospital lagi, mungkin di institut latihan atau tempat lain,” katanya dalam taklimat harian Covid-19 hari ini.

Hisham berkata, Kementerian Kesihatan akan memantau pesakit yang positif Covid-19 selepas 14 hari rawatan sehingga mereka tiada lagi gejala.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) KKM dalam usaha mengelakkan gelombang baru Covid-19.

Semalam, Hisham dilaporkan berkata, pesakit Covid-19 yang diuji positif pada hari ke-13 rawatan akan dibenarkan keluar wad kerana mereka tidak mampu menjangkiti orang lain.

Katanya, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin, kebolehjangkitan individu itu selepas 14 hari adalah sifar.

Sementara itu, Hisham berkata, Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul Majid yang positif Covid-19 minggu lalu menjalani rawatan dengan baik.

Katanya, Nik Azman sedang dijaga dan diasingkan.

“Dia memberi respons dengan baik, tiada simptomatik tetapi positif (untuk virus). Kami mengawasi dengan teliti.

“Nik Azman tidak menunjukkan gejala sebab tiada demam, batuk atau hidung berair.”

Minggu lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin diarah menjalani kuarantin 14 hari di rumah selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet yang turut dihadiri pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Audit Negara.

Namun, ujian saringan menunjukkan Muhyiddin tidak dijangkiti Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.