126 didenda langgar PKPB di KL

126 didenda langgar PKPB di KL

Polis akan terus menjalankan pemeriksaan bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan dan SOP PKPB.

Polis turut melakukan pemeriksaan di restoran bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan di bawah PKPB.
PETALING JAYA:
Seramai 126 individu berusia 18 hingga 59 tahun dikompaun kerana melanggar perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan kesalahan lain dalam 5 pemeriksaan polis di sekitar Kuala Lumpur sejak semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata pemeriksaan itu akan diteruskan bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan dan prosedur operasi standard PKPB.

Beliau turut meminta orang ramai memberi kerjasama kepada polis sepanjang tempoh ini.

“Pada 26 Mei lebih kurang 10 malam, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras membuat pemeriksaan di 2 restoran di sebuah kompleks beli-belah di Cheras.

“Pemeriksaan di premis pertama mendapati 40 orang terdiri daripada 26 lelaki tempatan dan 14 wanita tempatan dibawa ke IPD Cheras,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, 40 individu itu dikompaun di bawah Peraturan 15 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Katanya, 2 individu lain terdiri daripada seorang lelaki Nepal dan seorang wanita Vietnam ditahan di lokap Balai Polis Cheras untuk siasatan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana dipercayai tiada dokumen perjalanan sah.

Beliau berkatra, hasil pemeriksaan di premis kedua, 26 lelaki tempatan dan 8 wanita tempatan dibawa ke IPD Cheras untuk dikompaun kerana melanggar PKPB.

Pada 10.30 malam, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfields memeriksa sebuah pusat hiburan di Sri Hartamas dengan 5 lelaki tempatan, seorang lelaki dari India dan 4 wanita Thailand di dalamnya.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati mereka semua positif methamphetamine.

“Polis turut merampas 2 botol air berisi cecair disyaki MDMA (ecstasy) dan 1 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin. Semua tangkapan dan pemilik premis tersebut turut dikompaun kerana melanggar arahan PKPB.”

Ia disusuli Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields memeriksa sebuah premis di Mont Kiara pada 11 malam, di mana 23 lelaki tempatan dan 2 wanita dikompaun kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Mazlan berkata, kira-kira 1.19 pagi tadi, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields memeriksa sebuah premis di Taman Tun Dr Ismail dan mendapati 13 lelaki tempatan serta 6 lelaki Bangladesh melakukan pelbagai kesalahan.

Kes itu disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen dan Peraturan 15 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.