Ahli Parlimen DAP gesa KM jawab khabar angin lantikan Yang di-Pertua Negeri Melaka baru

Ahli Parlimen DAP gesa KM jawab khabar angin lantikan Yang di-Pertua Negeri Melaka baru

Dua individu, termasuk seorang bekas ketua menteri yang pernah digantung kerana ‘politik wang’ dikatakan dipertimbangkan untuk jawatan Yang di-Pertua Negeri.

Tempoh tugas Mohd Khalil Yaakob sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka tamat bulan depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli Parlimen DAP dari Melaka menggesa kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) yang baru dibentuk supaya menjelaskan khabar angin mengenai 2 individu, termasuk seorang bekas ketua menteri yang pernah digantung kerana “politik wang” dalam Umno kini dipertimbangkan untuk jawatan Yang di-Pertua Negeri.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong merujuk kepada spekulasi bahawa bekas ketua menteri Ali Rustam dan bekas setiausaha politik Dr Mahathir Mohamad, Zahid Mat Arip sedang berusaha untuk menggantikan Mohd Khalil Yaakob, yang tempoh perkhidmatannya akan berakhir pada 4 Jun.

“Khabar angin itu menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat Melaka mengenai kesesuaian calon terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

“Untuk rekod, Ali Rustam dan 3 penyokongnya didapati bersalah pada 2009 oleh lembaga disiplin partinya sendiri, iaitu Umno, kerana politik wang.

“Zahid Mat Arip baru-baru ini dikaitkan dengan kes rasuah bekas pengerusi Felda, Isa Samad.”

Khoo juga mempersoalkan dakwaan ketua menteri, Sulaiman Md Ali, bahawa beliau tidak tahu apa-apa mengenai pelantikan Yang di-Pertua yang baru.

Peranan Yang di-Pertua sebahagian besarnya bersifat istiadat, walaupun beliau mempunyai hak untuk membuat keputusan dalam hal-hal seperti pembubaran DUN dan juga memberi pengampunan.

Khoo berkata, Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa ketua menteri terlibat dalam melantik Yang di-Pertua Negeri melalui perundingan dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Prinsip demokrasi memerlukan ketua menteri melaksanakan ketelusan dan pemerintahan yang baik dalam hal melantik Yang di-Pertua Negeri yang baru. Individu yang dicalonkan untuk dilantik mestilah berintegriti tinggi, berdikari dan mendapat keyakinan masyarakat,” kata Khoo.

Beliau menambah bahawa calon harus dicalonkan berdasarkan kemampuan dan rekod prestasi mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.