
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Afzanizar Ahmad berkata dalam operasi kira-kira 12 tengah hari tadi, mereka yang ditahan termasuk 2 remaja berusia 18 tahun ke bawah, 19 tahun hingga 55 tahun (20 orang) dan 55 tahun ke atas (7 orang).
Beliau berkata, 20 individu dewasa dikompaun RM1,000 setiap seorang di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan hukuman di bawah Peraturan 15(1) peraturan sama.
“Tindakan dilakukan berdasarkan maklumat terdapat orang awam mengambil gambar berlatar belakangkan pemandangan bunga teratai di kolam tadahan banjir tersebut dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.
“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk tindakan lanjut, termasuk kompaun ke atas 20 individu dewasa terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di kepala Batas, 6 individu di Kampung Padang Benggali, Penaga, dikompaun RM1,000 setiap seorang hari ini atas kesalahan melanggar perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata tindakan kompaun dikenakan ke atas 6 individu terbabit atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran dan mengadakan aktiviti ziarah pada hari ke-3 sambutan Aidilfitri.
“Mereka dikenakan tindakan tersebut susulan Ops Covid-19 yang dilakukan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara bermula 3 petang tadi,” katanya hari ini.
Beliau berkata, 10 pasukan ditugaskan memantau kawasan perumahan di sekitar Seberang Perai Utara, termasuk di Kepala Batas, Bertam dan Tasek Gelugor.
Katanya, sejak hari raya pertama sehinggalah 12 tengah hari tadi, 101 orang dikompaun atas pelbagai kesalahan seperti merentas negeri dan melakukan aktiviti ziarah yang melanggar SOP PKPB.