
Kementerian Pengajian Tinggi membatalkan semua penerbangan untuk pelajar pulang ke Sabah atas permintaan Jabatan Kesihatan Sabah.
Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Yusof Yacob berkata penerbangan itu akan dijadualkan semula, bergantung kepada keadaan di pusat kuarantin.
Pengurus Besar Malaysia Airports Berhad, Sunip Naiman mengesahkan semua pesawat sewa untuk membawa pelajar pulang sudah dibatalkan.
Pihak berkuasa kesihatan berhenti membenarkan pelajar menjalani kuarantin di rumah selepas 10 kes baru Covid-19 dilaporkan awal minggu ini.
Namun, pusat kuarantin kerajaan tidak mampu menampung jumlah besar pelajar dan individu lain yang pulang ke Sabah.
“Kerajaan negeri sedang mencari jalan mengelakkan pelajar ditempatkan dalam keadaan tidak selesa di dalam pusat itu.”
Kementerian Pengajian Tinggi bertanggungjawab menyelaras kepulangan pelajar dan menguruskan semua pesawat sewa untuk tujuan itu.
Terdapat 11,653 pelajar Sabah di Semenanjung dan Sarawak. Ada yang sudah pulang ke negeri itu sejak Putrajaya melonggarkan sekatan pergerakan pada 27 April lalu.
Sabah mempunyai lebih 24 pusat kuarantin.